Pengalaman bawa misi Pak Lah menjuarai TVET di ASEAN

Dari Penulis

AL-FATIHAH dibaca dan dihadiahkan kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia Kelima yang meninggal dunia pada 14 April lalu.

 Secara peribadi, Tun Abdullah antara insan istimewa dalam hidup saya kerana jasa Allahyarham melonjakkan saya sebagai usahawan melalui dasar pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, Generasi Kedua  (BCIC2).

Saya pernah menulis pengalaman peribadi saya bekerjasama dengan Allahyarham walaupun singkat dan pada hujung kuasa Allahyarham sebagai Perdana Menteri. 

 Saya menulis beberapa artikel pengalaman saya mengenai beliau dalam ruangan Randau atas prinsip menghargai ketokohan pemimpin ketika mereka masih hidup (bukan apabila sudah meninggal dunia baru sibuk mengangkat martabat seseorang tokoh). 

 Antara artikel mingguan saya adalah bertajuk “Jiwa Besar Pak Lah ”  yang saya tulis pada 29 November 2020 melalui kolum Randau dalam portal berita Edisi 9 (masih boleh diperolehi secara google) adalah ulasan tentang jiwa, peribadi dan ketokohan Pak Lah dari perspektif saya yang pernah bergaul dengan Allahyarham  secara peribadi. 

 Apabila beliau meninggal dunia, saya lebih gemar menggalakkan semua pihak membaca semula artikel tersebut kerana kandungannya masih relevan dan evergreen untuk menghargai ketokohan Pak Lah yang saya tulis dengan hati dan perasaan.

Kali ini saya ingin menumpukan kepada saranan dan salah satu misi Pak Lah iaitu membangunkan modal insan berasaskan TVET di peringkat antarabangsa.

Penulis bergambar bersama Pengarah dan tenaga pengajar sekolah TVET pertanian di Plekiu, Vietnam.

Setelah Allahyarham bersetuju dengan cadangan saya untuk meningkatkan kapasiti TVET terutama pertanian yang jauh lebih cekap, cepat, jimat dan berkesan dalam satu pertemuan saya di rumah klasik beliau di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada tahun 2008 beliau bertanya apakah saya mampu membawa imej TVET di peringkat antarabangsa khususnya TVET pertanian (bidang yang menjadi nadi Pak Lah)?

 Ketika itu saya penuh yakin menjawab ‘boleh’ dengan syarat segala kerenah birokrasi diatasi melalui pendekatan “Private Driven” (pendekatan swasta). 

 Selepas Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika itu diberi mandat sebagai agensi peneraju Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia (SKLKSM) untuk Gabungan ILKS Bumiputera (GILKSB), maka bermulalah  gerak kerja mengikut perancangan asal.

Menyedari proses transisi jawatan Perdana Menteri antara Pak Lah dan Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlaku pada bila-bila masa, saya berusaha mempercepatkan proses pembangunan SKLKSM bersama lima buah Kolej Bersekutu saya supaya Pak Lah dapat menyaksikan progres kerja saya. 

 Membawa misi antarabangsa adalah peringkat kedua dalam perancangan gerak kerja asal kerana keutamaan kami adalah untuk memenuhkan pelatih-pelatih tempatan terlebih dahulu. 

 Alhamdulillah, kemasukan 4,000 pelatih TVET  GILKSB dalam pelbagai bidang untuk tempoh tidak sampai setahun (2008-2009) membolehkan saya menggerakkan pula misi antarabangsa.

Saya menggerakkan misi ASEAN + 2 yang bertujuan menjalin kerjasama strategik  (ASEAN, China dan Australia), malangnya setahun selepas bekerjasama dengan Pak Lah, Allahyarham meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Saya meneruskan usaha tersebut pada era Najib sebagai Perdana Menteri Keenam.

 Misi GILKSB telah berjaya mencapai matlamat menjadikan TVET Malaysia ketika itu dilaksanakan dengan negara-negara ASEAN termasuk menjalankan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Indonesia dan Vietnam.

Institut Skill Tech Melaka melatih guru-guru vokasional Vietnam khususnya dalam bidang pertanian. Menariknya, kursus Bahasa Inggeris dan latihan tenaga pengajar guru-guru vokasional ini dilatih di pusat latihan kami di Melaka sejak tahun 2012. 

 Hasil kerjasama tersebut, Kerajaan Vietnam sering menjemput kami untuk meningkatkan kapasiti pendidikan TVET negara mereka sehinggalah membawa kepada pembangunan TVET dalam industri pertanian dengan  syarikat  pertanian di Australia. Pertanian moden Vietnam semakin berkembang hari ini yang pernah disumbangkan oleh institusi TVET seperti kami dari Malaysia.

Sebahagian pelatih asas penyelenggaraan kapal terbang di Indonesia yang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

 Sahabat saya Meatech Academy pula berjaya mengadakan kerjasama dengan sekolah-menengah Kejuruwan (vokasional) di Surabaya, Indonesia melalui konsep setahun dilatih di Indonesia, setahun lagi di Malaysia dengan jumlah bayaran RM35,000 bagi setiap pelajar yang dibiayai mereka sendiri. Pelaksanaannya melibatkan pensijilan SKM dari Malaysia.

Kemuncaknya ialah pada tahun 2017, apabila kerajaan Thailand menyatakan hasrat untuk membangunkan TVET dalam kalangan belia di Selatan Thailand dengan kerjasama IGROW, Kampung Gajah. Sementara itu, Australia dan Kerajaan China telah menunggu untuk mewujudkan satu jaringan kerjasama strategik pembangunan TVET yang berteraskan pertanian.

Namun semua usaha yang berjalan dengan baik musnah apabila dasar TVET kita bersifat flip-flop (kadang-kadang syok sendiri) dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. 

Sesi taklimat semasa orientasi kursus asas penyelenggaraan penerbangan.

 Bagaimana hendak mencapai standard antarabangsa, jika isu TVET dalam negara sendiri masih belum selesai. Akhirnya, kita dapati kesemua negara berkenaan sudah mencapai tahap TVET yang semakin meninggalkan kita. Dalam kalangan negara  anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di manakah kedudukan TVET Malaysia?

Apapun saya sudah melaksanakan misi Pak Lah dulu. Banyak yang pernah saya perkatakan kepada Allahyarhamah Normah yang pernah menjadi Setiausaha bekas Perdana Menteri itu. 

 Seringkali juga saya ceritakan semua kenangan bersama Pak Lah dengan Dato’ Ahmad Nazri Yusof yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Pak Lah (bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda) yang hingga kini sering bersama saya menjayakan legasi Pak Lah iaitu pertanian dan TVET.

 Semoga kisah pengalaman ini harus dijadikan iktibar dan panduan oleh kerajaan khususnya pak menteri dan penjawat awam khususnya ketua-ketua jabatan mengenai kisah kejayaan pemikiran dan gagasan pemimpin negara seperti Pak Lah. 

 Sinergi awam dan swasta yang pernah terjalin dulu adalah bukti bahawa sesuatu dasar itu memerlukan kerjasama kerajaan dengan pihak swasta berpengalaman luas  seperti kami bagi mencapai misi negara dengan ‘cepat, cekap, jimat dan berkesan’.

Marilah kita sekali lagi sedekahkan Al-Fatihah buat Pak Lah.

  • * Penulis adalah Usahawan dan Aktivis Sosial-Ekonomi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pas hentikan kerjasama politik dengan Bersatu – Hadi Awang

MESYUARAT Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menetapkan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi...

More Articles Like This