JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua pihak supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Ia susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata masyarakat Islam di negara ini perlu mengutamakan kemenangan politik termasuk menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menegaskan, pihaknya mengambil maklum berhubung kenyataan tersebut.
“Bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir, JAKIM sedang dalam tindakan meneliti kenyataan tersebut bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Abdul Hadi dalam ceramah mega pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dilaporkan berkata masyarakat Islam di negara ini perlu mengutamakan kemenangan politik termasuk menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji.
Baca artikel lain: Utamakan kemenangan politik berbanding haji, umrah: Jangan gopoh keluarkan pandangan hukum agama
Beliau dilaporkan berkata ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Abdul Hadi turut mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan hukum agama secara individu tanpa merujuk kepada pihak berautoriti seperti para mufti.
Beliau menegaskan, hukum agama adalah perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

