SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram baru melibatkan sekitar 15 ke 20 peratus setakat ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki seperti dilapor BH Online, hari ini.
Pada masa sama, Azam memberitahu, pihaknya akan memanggil semula Ismail Sabri untuk dirakam keterangan kira-kira dua minggu lagi.
“Kita akan memanggilnya dalam tempoh lebih kurang dua minggu lagi kerana ada beberapa dokumen kita minta beliau sediakan dan kes ini masih lagi berjalan.
“Kalau ditanya (status) siasatan, ia lebih kurang sekitar 15 ke 20 peratus. Pertama, untuk mengisytiharkan harta itu satu hal, yang kedua dan penting bagi kami memastikan apakah yang diisytiharkan itu benar atau tidak.
“Menjadi satu kesalahan sekiranya pengisytiharan itu sesuatu yang tidak benar atau tidak mencukupi,” katanya.
Baca artikel lain: Ismail Sabri selesai beri keterangan selepas hampir empat jam
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara: Recalling Jakarta Statement 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Sebelum ini, Ismail Sabri sudah tujuh kali dipanggil SPRM, dengan kali terakhir pada Khamis lalu.
Ahli Parlimen Bera disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac lalu, Azam memaklumkan, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram (kg) jongkong emas di dalam sebuah “safe house”, hasil serbuan SPRM.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

