UMDAP-MANTAP: Pemimpin UMNO usah malu lagi

Dari Penulis

 FAKTANYA keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN Ayer Kuning) pada Sabtu lalu membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP kini menjadi ‘penyambung hayat politik’ kepada Barisan Nasional (BN) dalam politik tanah air.

Pemimpin BN boleh mentafsirkan apa sahaja termasuklah mendakwa sokongan pelbagai kaum terhadap gabungan itu semakin meningkat dengan menegaskan hanya satu pusat daerah mengundi (PDM) menunjukkan kekurangan 88 undi manakala PDM lain berjaya dirampas sepenuhnya.

Persoalannya, andai kata PH tidak bergabung dengan BN dalam kerajaan, andai kata PH turut bertanding di Ayer Kuning, apakah mungkin BN akan mencapai keputusan yang menyaksikan calon mereka, Dr.Mohammad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi?

Paling kritikal, apabila pemimpin BN berkata, ‘’kita juga lihat peningkatan sokongan daripada pengundi Melayu, Cina, India serta Orang Asli.’’  

Penulis akui BN turut mendapat undi orang Melayu (walaupun tidak banyak) manakala sejak awal lagi memang maklumat di lapangan menyatakan pengundi India dan Orang Asli menyebelahi BN, tetapi mahu mentafsirkan ‘peningkatan pengundi Cina’ kepada parti itu sebagai tanda mereka kembali menyokong BN, ia boleh diperbahaskan.

Ia kerana pemimpin BN khususnya UMNO sama sekali tidak boleh menafikan bahawa peningkatan pengundi Cina terhadap BN adalah hasil kerja dan sumbangan jitu pemimpin-pemimpin DAP yang bertungkus lumus berkempen meminta penyokong mereka memberi kemenangan kepada BN.

 Kalau benarlah BN mendapat sokongan pengundi Cina ‘secara tulen’ tanpa bantuan DAP sudah pasti mereka akan mendapat undi  lebih besar lagi daripada kelompok itu. Ini kerana sumber memberitahu, hanya 35 peratus daripada 6,722 pengundi Cina  keluar mengundi dan mereka inilah dikatakan menyumbangkan sekitar 2,300 undi bagi membolehkan BN mendapat 11,065 undi secara keseluruhan.

 Jumlah  11,065 undi itu hanya lebih 1,977 undi berbanding PRU-15 yang mana BN memperoleh 9,088 undi dalam pilihan raya berkenaan.

Tidak perlulah membuat andaian kononnya pengundi Cina tidak menyebelahi Perikatan Nasional kerana kesilapan strategi Pas memainkan isu ladang babi. Sebenarnya kalaupun Pas tidak berbuat demikian, parti itu tetap tidak akan mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Ia memandangkan sementara pengundi Cina dikuasai oleh DAP, pengundi India pula menyebelahi PKR manakala Amanah menyumbang sedikit sebanyak undi daripada orang Melayu.

Penulis memperkatakan soal pola pengundian ini bagi tujuan untuk mengingatkan pemimpin BN bahawa PH khususnya DAP berjasa besar kepada mereka. Tanpa DAP belum tentu pengundi Cina akan memberi undi kepada BN. Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO usahlah lagi malu atau bercanggah soal UMDAP-MANTAP. Tidak ada apa salahnya dengan gelaran tersebut kerana ia sudah terbukti di Ayer Kuning. 

Mereka tidak boleh lagi mencipta alasan untuk menolak UMDAP-MANTAP sebaliknya patut berbangga kerana berpuluh-puluh tahun PKR bersama DAP, berpuluh-puluh tahun Amanah bekerjasama dengan DAP tetapi tidak adapun slogan PKRDAP-MANTAP atau AMADAP-TEGAP tetapi bila UMNO bekerjasama dengan PH terus wujud UMDAP-MANTAP.

Usahlah rasa takut dengan slogan itu kerana selama inipun pemimpin UMNO sentiasa mempertahankan DAP. Tambahan pula DAP dan UMNO bukannya ‘bergerak berasingan’ sebaliknya sama-sama memerintah negara dan kempen bersama dalam setiap pilihan raya sejak selepas PRU-15. Jadi apa masalahnya mahu ‘mengiktiraf’ UMDAP-MANTAP?

Penulis masih ingat sebelum PRU-15 dan ketika PRN Johor mahu diadakan, ketika berbual-bual dengan seorang pemimpin UMNO di PWTC, beliau memberitahu bahawa seorang pemimpin DAP menyatakan , kalau UMNO dan DAP bergabung ia amat baik kerana UMNO disokong orang Melayu dan DAP disokong kuat orang Cina.

Kata pemimpin DAP itu, kalau dua-dua parti itu bekerjasama pasti ia menghasilkan  gabungan politik terkuat demi kepentingan negara. Sekarang ia sudah terbukti walaupun sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin merosot tetapi sekurang-kurangnya melalui kerjasama dengan PH khususnya DAP, pengundi PH akan ‘menampung kemerosotan’ tersebut.

Seperkara lagi, pemimpin UMNO pun sudah mengingatkan kepada pemimpin Bersatu dan Pas supaya ‘tidak bermimpi di siang hari’ untuk bekerjasama dengan UMNO malah ada juga pemimpin UMNO berkata, pemimpin Bersatu semakin bimbang dengan kekuatan kerjasama BN-PH.

Kalau begitulah keadaannya maka pemimpin UMNO janganlah melenting soal UMDAP-MANTAP. Sebaliknya perlu berasa bangga dan teruja  kerana siapa tahu kerjasama itu akan membuat peluang kepada UMNO terus menumpang dalam kerajaan biarpun tidak menang banyak kerusi.

Pemimpin UMNO juga perlu diingatkan, kalau mereka percaya  kerjasama itu boleh terus mengekalkan  kestabilan politik, maka bertindak adil lah dalam tindakan bukan sahaja mengakui UMDAP-MANTAP tetapi juga memberi peluang kepada ADUN PH turut terlibat dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Penulis yakin pemimpin UMNO Johor seperti Speaker DUN Johor Datuk Dr. Puad Zarkashi boleh memainkan peranan bagi merealisasikan wujud Kerajaan Perpaduan di Johor seperti mana di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Sebagai timbal balik, PH pula perlu menunaikan janji melantik wakil UMNO sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah. Perkara itu didesak oleh UMNO Kedah pada 12 April lalu.

Penulis bersetuju dengan kenyataan UMNO Kedah bahawa ‘Soal keikhlasan dalam kerjasama ini penting’’, begitulah juga dalam soal hubungan dengan DAP, UMNO mesti menunjukkan keikhlasan seperti pemimpin DAP tanpa segan silu berbangga bersama dengan UMNO.

 Semoga selepas ini, UMDAP-MANTAP tidak menjadi seolah-olah ‘hantu’ kepada pemimpin UMNO sebaliknya menjadi ‘azimat’ untuk UMNO perkukuhkan kedudukan dalam politik. Soal adakah kerjasama itu mendapat sokongan padu seluruh ahli UMNO… itu soal kedua, lagipun sebelum ini mereka tidak pernah ditanya bersetuju atau tidak berkaitan kerjasama berkenaan. Kemenangan BN dalam beberapa PRK sebelum ini membuktikan ahli UMNO ‘ok aje’.

Yang penting kata pemimpin UMNO, keputusan dibuat demi kestabilan politik negara…betul tak? Adakah UMNO melalui UMDAP-MANTAP akan menggugat mana-mana parti dalam PH khususnya Amanah…itu kita cerita kemudian.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This