PEMAIN pertahanan Manchester United, Harry Maguire dijadual membuat penampilan dalam aksi persahabatan menentang ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
Ia merupakan kunjungan pertama pemain berusia 32 tahun itu ke Malaysia sejak menyertai The Red Devils pada 2019.
Maguire mengesahkan kehadirannya ke Malaysia menerusi satu rakaman video yang dikongsi penganjur jualan tiket ShekhinahPR hari ini.
Sebagai sebahagian daripada siri jelajah pasca musim ini, skuad kendalian Ruben Amorim turut akan berkunjung ke Hong Kong untuk aksi menentang pasukan kebangsaan negara itu di Stadium Hong Kong pada 30 Mei, sebelum berdepan Leeds United di Stockholm pada 19 Julai.
United kemudian akan menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris (EPL Summer Series) di Amerika Syarikat, menentang West Ham United (26 Julai), Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).
Baca artikel lain: MARA siasat dakwaan buli pelatih OKU di GiatMARA Alor Gajah
Maguire kini berada dalam prestasi terbaik apabila menjaringkan gol kemenangan dramatik dalam aksi suku akhir kedua Liga Europa menentang Olympique Lyon di Old Trafford pada 18 April, yang menyaksikan United menang 5-4 ke atas kelab Perancis itu.
Beliau turut memainkan peranan penting ketika United menewaskan Athletic Bilbao minggu lalu apabila melakukan umpanan untuk gol pembukaan oleh pemain tengah Brazil, Casemiro dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium San Mames.
Manchester United akan menjadi tuan rumah untuk aksi timbal balik menentang Athletic Bilbao di Old Trafford, Khamis ini.
Tiket untuk perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All Stars masih boleh didapati menerusi laman web myticketempire.com.
– BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

