Aku nak cerita tentang ibuku. Tahukah kalian, ibuku sebenarnya seorang yang bodoh. Ya, bodoh! Mungkin kalian akan marah, memaki hamun atau menuduh aku sebagai anak derhaka.
 Tapi inilah realiti yang aku lihat selama hidup. Ibuku memang seorang yang bodoh. Seingat aku, sudah banyak kali aku saksikan kebodohan ibu sendiri.
Pertama, aku diberitahu semasa bayi, aku kerap demam dan menangis pada waktu malam. Dan ketika itu, ibu akan menjadi seorang yang ‘bodoh’ kerana sanggup bersengkang mata semata-mata mahu menjaga aku.
Kebodohan kedua. Bila menjelang Hari Raya, ibu selalu berbelanja besar dengan membeli pakaian cantik dan indah bagi kami adik-beradik. Tapi ibu langsung tak membeli untuknya. Bila kami tanya, ibu menjawab dia sudah beli awal. Namun menjelang raya, kami lihat ibu memakai baju raya yang sudah dipakainya sejak dua tahun lalu. Bukankah itu ‘bodoh’ kerana ibu tak menggunakan duit untuk keperluan dirinya sendiri?

Kebodohan ketiga. Setiap hari, ibu akan memasak hidangan yang enak untuk kami. Namun bila diajak makan bersama, ibu menolak dengan alasan sudah kenyang. Ibu minta kami makan dahulu. Selepas kami berlalu pergi, ibu akan makan sisa-sisa lauk yang kami tinggalkan. Bukankah itu tindakan ‘bodoh’? Ibu sepatutnya boleh makan dahulu sehingga kenyang sebelum menghidangkannya kepada kami.
Kebodohan keempat. Pernah beberapa kali, aku pulang ke rumah agak lewat. Sebaik melangkah masuk, aku lihat ibu sedang menangis. Rupa-rupanya ibu menangis kerana risau keselamatan aku. Bukankah itu ‘bodoh’ kerana ibu sanggup menangis semata-mata risau anaknya, sedangkan anaknya langsung tidak memikirkan hati ibunya?
Kebodohan ibu tidak terhenti di situ. Setiap kali selesai sembahyang, dengan linangan air mata, aku lihat ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan kami adik-beradik di dunia dan akhirat, sedangkan kami tidak pernah berbuat begitu kepadanya.
Namun, itu semua dahulu. Kini baru aku sedar, kerana ‘kebodohan’ ibu itulah kami adik-beradik berjaya dibesarkannya hingga kami semua berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Selamat Hari Ibu!
____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

