IBU mengesat peluh dengan kain yang telah sedia kumal. Jejeran peluh seakan enggan berhenti. Ibu mengesat lagi. Ibu lalu memandang kami, enam orang anaknya yang belum mengerti kehidupan.
Ya, mulut-mulut mungil ini harus disuapi agar tidak kelaparan termasuk diri ibu. Jadi, ibu harus bekerja lebih keras. Tetapi mampukah ibu? Tiba-tiba pandangan ibu menjadi sayu.
Sejak berpisah dengan ayah tiga tahun lepas, ibu membawa diri bersama kami berenam. Mujur ada tanah sekangkang kera tinggalan arwah nenek. Di atas tanah itu, ibu membina gubuk buruk yang tidak layak dipanggil rumah. Cuma beratapkan daun rumbia dan kulit pokok kayu sebagai dindingnya. Namun, kami bersyukur ada tempat untuk berlindung dari hujan, panas.
Pendapatan ibu sekadar hasil menoreh getah, kebun tinggalan nenek. Itu pun pohon-pohon getah tua yang liat mengeluarkan susu. Namun cuma itu yang ibu ada.
Saat insan lain masih enak diulit mimpi, ibu telah berjalan kaki sejauh tujuh kilometer untuk menoreh berbekalkan lampu ayam tuanya. Lewat tengah hari baru ibu pulang. Itulah rutin harian ibu andai hari tidak hujan.

Sekiranya tidak ke sekolah, saya bersama adik perempuan kerap menolong ibu. Kami berdua memang rapat dengan ibu. Saya kasihan melihat ibu sendirian bertungkus-lumus mencari rezeki buat kami.
Jika ikutkan hati, saya lebih suka mengikut ibu dari ke sekolah. Saya mahu meringankan bebannya. Namun ibu berpesan, belajarlah rajin-rajin demi masa depan yang lebih baik.
Saya ikuti saranan ibu. Di sekolah saya serba-serbi kekurangan. Baju hanya sehelai sahaja. Kasut pula sekadar selipar buruk yang diikat dengan dawai kerana telah putus getahnya.
Buku teks memang tidak mampu beli. Hanya mengendeng-ngendeng rakan sekelas, lama-kelamaan kawan jadi benci lalu menjauhkan diri. Buku tulis pula cuma ada dua buah, semua subjek ditulis di atasnya. Cikgu yang memeriksa jadi pening kepala.
Cikgu kerap bertanya mengenai wang yuran, saya tidak pernah membayar. Ibu kata tidak ada duit. Ah! Cikgu bukan tahu apa pun kesusahan kami.
Pernah sekali cikgu datang menemui ibu. Tatkala melihat akan kedaifan kami, cikgu langsung sebak. Sejak itu cikgu tidak pernah lagi bertanya pasal yuran. Saya merasa lega.
Saya tidak pernah membawa bekal wang ke sekolah. Biasanya kami berlapar. Jika ada pun ibu akan membekalkan lempeng yang digulung pada kertas surat khabar.
Tiba waktu rehat, kala murid-murid lain berlarian ke kantin membeli nasi lemak serta air sirap sejuk, saya dan adik mencari tempat yang jauh tersorok, membuka bekalan kami. Saya malu diejek-ejek oleh mereka.
Puas meleraikan kertas yang melekat pada lempeng. Baki kertas yang susah dileraikan itu kami telan bersama. Secebis demi secebis, saya suap lempeng ke mulut adik.
“Bang! Bila kita dapat makan nasi lemak dan minum air sirap ye? ”soal adik. Pertanyaan adik buat saya tunduk sayu. Sebak rasa dada.
“Entahlah dik, kita tak mampu,” getus hati saya.

Saya renung wajah comel adik yang baru dalam tahun dua. Wajah yang tiada sepalit dosa pun. Habis makan saya tampung air paip dengan kedua-dua tangan, lalu suap ke mulut adik.
Adik menghirupnya sehingga tersedak, mata berair. Baju adik pun jadi basah. Kasihan adik!
“Nanti kita beli ye, bang!” ulang adik lagi mengingatkan air sirap sejuk dan nasi lemak di kantin tadi.
Saya sekadar mengangguk, adik tersenyum. Akhirnya kami tersenyum bersama. Bukan setakat nasi lemak dan air sirap, pensel yang murah pun ibu tak mampu beli.
Jika ketiadaan pensel, sehabis waktu sekolah sebelum sesi petang bermula, saya dan adik akan masuk ke kelas-kelas mengutip pensel-pensel kontot yang dibuang oleh murid lain.
Apabila menemuinya, adik akan menjerit kegirangan. Sampai di rumah saya akan menyambungnya dengan ranting buluh. Getah pemadam kami dari cebisan selipar buangan. Pembaris pula diperbuat daripada batang buluh yang dikerat pendek. Di kelas lukisan pula kami tidak pernah mempunyai berus. Hanya jari-jemari yang menari-nari di atas kertas.

Pernah suatu ketika kami benar-benar lapar, sedang di rumah tadi tidak menjamah sebarang makanan. Saya bersama adik mengutip kulit-kulit kacang goreng terbuang, mengunyah lumat lalu menelannya untuk alas perut.
Dari enam beradik, hanya tiga yang bersekolah. Abang pun setakat tahun lima sahaja. Dalam situasi miskin begini mana mungkin kami dapat belajar dengan sempurna.
Kami cukup sedih bila tiba musim hujan. Apatah lagi bila waktu malam membadai, habis gubuk kebocoran. Akhirnya kami terpaksa berlindung di bawah rumah langsung terlelap.
Dapur kerap tidak berasap kala musim hujan kerana ibu tidak dapat pergi menoreh. Tiba malam, kami kena tidur cepat kerana awal-awal lagi ibu telah memadam lampu minyak tanah, demi berjimat katanya.
Dengan perut yang lapar, mata kami enggan terpejam. Adik teresak-esak menahan perut kosong. Saya turut menangis. Suara sayu kami bertingkah bersama dendangan sang kodok dan cengkerik.
“Tidurlah, dik… mungkin esok akan ada rezeki,” pujuk saya.
Adik berbaring, lama-lama akhirnya terlelap. Namun sedu-sedan adik masih kedengaran. Ya Tuhan, inikah natijah dan harga sebuah perceraian yang kami kena bayar, sedangkan kami tidak pernah bersedia untuk itu.
Hidup kami kelam, tidak pernah pasti. Di kegelapan malam, saya memasang impian biarlah esok cuaca cerah dan ibu boleh pergi menoreh buat mengisi perut-perut lapar kami. Mentari, teruslah bersinar! Kasihanilah kami.
Lalu saya berbaring menyelimuti tubuh dengan kain yang hampir rabak. Separuh untuk adik dan separuh lagi untuk saya. Waktu tidur, ibu sering membelai kami.
Kami tahu, ibu sebenarnya terlalu sayangkan kami. Ibu mahu memenuhi apa jua kemahuan kami namun tidak mampu. Sengsara perasaan ibu siapalah tahu. Mungkin ibu menangis di dalam hatinya.

Bulan puasa dan tibanya hari raya sama saja pada kami seperti bulan-bulan lain. Tiada istilah makan sedap atau baju baharu. Berbuka dengan ubi rebus dan teh O kosong adalah biasa. Sesekali jika ada kuih cekodok atau pisang goreng, itulah juadah paling sedap pada kami.
Saya pernah teringin minum air batu tetapi tidak pernah berjaya mendapatkannya. Hari raya pakai apa yang ada. Malah ada saudara kami yang berkaki ayam ke masjid untuk sembahyang.
Rendang atau kari ayam terlalu jarang dapat memakannya. Sekadar bau dari kejauhan. Siapa pula sudi menghulur pada kami. Ikan sardin dalam tin yang ibu masak tumis sudah cukup buat mengenyangkan kami di pagi raya.
Kemeriahan membakar mercun pun tidak pernah dirasa. Cuma mendengar bunyi dentuman di sana sini. Esoknya kami ke tempat di mana kanak-kanak memasang mercun lalu mengutip segala sisa. Malam itu kami membakarnya seperti unggun api. Hanya itu buat kami menumpang kegembiraan menyambut lebaran.
SUATU hari, ibu lewat bangun. Ibu tergesa-gesa ke kebun setelah mengejutkan saya dan adik. Kebetulan kami tidak bersekolah, langsung membuntutinya dari belakang.
Sampai saja di kebun, ibu terus menoreh pantas. Kami menolong apa-apa yang patut. Lewat tengah hari baru beres. Ibu menjunjung baldi berisi susu getah di atas kepala dan berjalan pulang.
Ibu harus cepat ke pusat pengumpulan susu getah takut tutup. Mungkin keletihan, ibu berjalan tidak keruan. Tiba-tiba kaki ibu tersangkut pada akar getah terus jatuh terduduk. Habis susu getah menyiram tubuh ibu. Mujur tidak mengenai kepalanya. Kedut-kedut di wajah ibu menahan sakit benar-benar merawan hati saya.
“Ibu! Ibu!” teriak saya lalu mendakap tubuhnya. Apa yang dapat difikirkan oleh murid tahun lima dalam situasi begitu.
Akhirnya saya dapat ilham, cari cawan getah. Pergi mencari lopak-lopak air, cedok dan siram tubuh ibu. Adik membantu menggosok gosok kaki ibu. Bila ibu agak pulih kami menyokongnya dan berjalan balik. Baldi saya tinggalkan begitu sahaja.
Sejak itu ibu jatuh sakit. Sebelum ini pun ibu pernah sakit namun tidak seserius kini. Dapur jarang-jarang berasap, kami makan seadanya. Kami pernah merayau di kebun orang, mencuri ubi kayu. Ubi kayu itu kami ratah sehingga sakit perut.
Biar orang memarahi kami kerana mencuri, tetapi kami tiada pilihan. Pernah juga abang bengkak, benjol kena belasah orang kerana mencuri buah-buahan untuk diberikan pada kami yang kelaparan.
Apa yang saya harap biarlah ibu cepat sembuh, boleh bekerja dan kami tidak kelaparan. Tetapi keadaan ibu semakin teruk. Badannya makin menyusut, muka cengkung pucat serta tidak lalu makan.
Malam, ibu mengerang menahan derita. Kami tidak tahu apa harus dilakukan, hanya mampu berendam air mata. Ibu tempat kami bergantung rezeki begini keadaannya. Bagaimanakah nasib kami nanti?
Kami tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi mengubatnya. Harapkan ayah datang membantu kami seperti telah terputus hubungan dengannya.
Saya pernah ajak adik pergi menoreh tetapi ibu tidak membenarkan kerana kami masih kecil lagi. Mujurlah ada mak cik yang mahu ambil berat, mereka juga memberi keperluan harian seadanya buat kami.
Tapi, Tuhan lebih sayangkan ibu. Tanggal 11 Mac 1997, ibu pergi buat selama-lamanya setelah menanggung derita tidak terperi. Sewaktu ibu dikebumikan, adik seperti kena histeria menjerit-jerit seolah-olah mahu mengikut serta arwah yang disemadikan ke dalam kubur.
Mata saya bengkak kerana terlalu banyak menangis. Apa pun saya kena terima kenyataan, ibu yang kami sayang, ibu yang selalu menyuap makanan yang tidak pernah cukup ke mulut kami sudah tiada lagi.

Hidup harus diteruskan. Sejak itu kami dibela oleh mak cik yang juga punya anak ramai. Kami faham situasi ini. Masa berlalu pantas. Setiap perkara ada hikmah dan pengajarannya. Kesusahan mengajar erti ketabahan.
Kini, saya telah bekerja, adik pula telah pun berumah tangga serta punya beberapa orang cahaya mata. Yang lain dengan haluan sendiri-sendiri. Namun memori bersama ibu, adik dan lainnya tetap segar di ingatan.
Cuma satu yang masih terkilan, saya tidak sempat membahagiakan ibu yang telah sanggup berkorban apa saja untuk kami, sehingga ke hujung nyawa. Semoga roh ibu ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin. -MOHD SHAHDAN SARKAN, Klang, Selangor.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

