APAKAH sejak 2019 apabila Proses Rundingan Damai yang terhenti pada 2014 disambung semula, pemerintah Thailand dan Kerajaan Malaysia sebagai fasilitator berunding dengan individu yang tidak ada apa-apa kuasa yang mewakili Barisan Revolusi Nasional (BRN)?
Adakah disebabkan faktor itu ia menjadi penyebab proses rundingan damai terus gagal walaupun sudah lebih 10 tahun dilaksanakan? Dan adakah BRN cuba mempermainkan pemerintah Thailand dengan menghantar mereka yang tidak layak untuk berunding?
Penulis membangkitkan perkara ini selepas membaca laporan sebuah media sosial di Thailand iaitu naewnamankhong yang mendedahkan hasil pertemuan antara Menteri Pertahanan Thailand Phumtham Wechayachai dengan Fasilitator Malaysia, Datuk Mohd Rabin Basir.
Dalam pertemuan itu Phumtham meminta BRN menampilkan mereka daripada kumpulan besar yang benar-benar mempunyai kuasa membuat keputusan atau pemimpin sayap militan harus dibawa menyertai meja rudingan.
Kalau mengikut laporan tersebut pemerintah Thailand agak tegas membuat permintaan berkenaan dengan menyatakan mereka bersedia meneruskan rundingan dengan syarat BRN diwakili oleh pemimpin utamanya yang mempunyai kuasa memberi arahan.
BRN tidak boleh menghantar pemimpin yang tidak ada apa-apa kuasa dan perlu merujuk setiap isu yang dibincangkan dalam proses damai kepada pemimpin tertinggi puak pemisah itu. Lebih buruk isu yang dibawa oleh wakil BRN ke dalam mesyuarat tiada kaitan sama sekali dengan isu yang diperbincangkan sebaliknya lebih berbentuk tohmahan seperti menuduh pemerintah Thailand menghalang penduduk Islam memakai baju Melayu.
Permintaan daripada pemerintah Thailand tersebut mungkin dapat dimaksudkan merujuk kepada Anas Abdul Rahman/Hipni Mareh daripada sayap politik yang merupakan Ketua Tim Rundingan BRN yang tidak boleh membuat keputusan dalam pelbagai isu penting.

Pihak Thailand mencadangkan supaya pemimpin tertinggi BRN iaitu Dulah Wae (Wan) Mat Nor atau Din Awe (Awang) Chik turut serta dalam pusingan baru proses rundingan jika ia diadakan.
Jika membaca laporan itu, kita akan mendapati kali ini pemerintah Thailand benar-benar tegas mahu memastikan mereka tidak membuang masa dan membazirkan tenaga melayan kerenah BRN di meja rundingan tetapi sehingga ke hari ini, tidak sekelumit tanda-tanda bahawa BRN akan menghentikan tindakan ganas di Selatan Thailand.
Boleh dikatakan setiap hari termasuklah ketika bulan suci Ramadan dan Syawal, BRN terus mengganas membunuh penduduk tidak berdosa tidak kira mereka beragama Islam atau Buddha. Kalau begitulah keadaannya apa guna proses rundingan damai? Sepatutnya bila proses itu diadakan ia pasti mampu meredakan situasi.
Tetapi sebaliknya berlaku apabila ketika proses rundingan damai tengah berjalanpun keganasan terus tercetus. Ia memberi isyarat bahawa pemimpin BRN dalam rundingan itu tidak ada kuasa sama sekali untuk menghentikan keganasan.
Pemerintah Thailand menurut laporan media tersebut menegaskan, mereka bersedia meneruskan rundingan dengan syarat ia disertai oleh pemimpin BRN yang ada kuasa membuat keputusan.
Sama ada pemerintah Thailand akan melantik atau tidak, Ketua Tim Rundingan Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand ia bergantung kepada sejauh manakah BRN benar-benar ikhlas menampilkan pemimpin utamanya ke meja rundingan.
Dilaporkan juga rundingan kali ini tidak akan melibatkan tuntutan BRN yang menyatakan mereka bersedia menghentikan keganasan asalkan pemerintah Thailand mesti mengundurkan anggota tentera keluar dari wilayah itu, membatalkan pos sekatan dan pos pemeriksaan, membatalkan penguatkuasaan undang-undang untuk melakukan kepungan dan penggeledahan.
Laporan media itu memberi gambaran bahawa pemerintah Thailand tidak mahu lagi ‘beri muka’ atau lebih tepat berlembut dengan kumpulan BRN. Jika puak pemisah ikhlas berjuang untuk penduduk Islam dan ingin mewujudkan kedamaian, mereka mesti tampilkan pemimpin yang dikehendaki pemerintah negara itu untuk berunding.
 BRN seharusnya tidak takut berbuat demikian kerana pemerintah Thailand pastinya akan menjamin keselamatan pemimpin terlibat. Kalau BRN sekadar menghantar pemimpin bertaraf ‘penyampai mesej’,  lebih baik kedua-dua pihak berunding menggunakan aplikasi ‘group WhatsApp’ sahaja! Kalau gagal pun…tidak kecewa sangat.
Sudah terbukti selama ini rundingan itu gagal dan tidak menghasilkan apa-apa yang memberi manfaat kepada penduduk Islam di Selatan Thailand. Justeru apa gunanya pemerintah Thailand terus bertolak ansur dalam soal itu sedangkan BRN tidak ikhlas dalam perundingan.
Tidak kiralah apapun dendam pemimpin BRN yang dimaksudkan oleh pemerintah Thailand itu tetapi jika beliau ikhlas berjuang untuk penduduk Islam, kalau beliau ikhlas mahu melihat wilayah itu aman damai dan kalau beliau ikhlas mahu memastikan keganasan dihentikan serta tiada lagi darah insan tidak berdosa bersimbah di bumi Selatan Thailand maka pemimpin itu perlu tampil berunding.
Seandainya pemimpin tersebut berdegil dan BRN terus dilihat mahu ‘main-main’ dalam proses rundingan damai maka pemerintah Thailand berhak melakukan tindakan mengikut kuasa mereka sebagai kerajaan yang sah demi mempertahankan kedaulatan wilayahnya.
Dalam soal ini juga, mungkin Malaysia sebagai fasilitator boleh menasihatkan BRN supaya mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pemerintah Thailand.
Kalau Malaysia tidak boleh berbuat demikian atas sebab kedegilan BRN maka lebih baik Malaysia tidak perlu lagi menjadi fasilitator kerana ia hanya kerja sia-sia dan paling tidak sedap didengar kalau ada tuduhan kita menyebelahi BRN.
Oleh itu diharapkan demi masa depan Selatan Thailand, pemimpin sebenar BRN akan tampil untuk berunding dengan pemerintah Thailand manakala Malaysia akan memainkan peranan sebagai orang tengah.
BRN tidak boleh menjadikan Malaysia sebagai medium penyambung kehendak mereka, sebaliknya perlu berterus-terang dengan pemerintah Thailand melalui kehadiran pemimpin paling berkuasa dalam BRN.
Jika pemimpin BRN itu tidak memunculkan diri sebaliknya lebih selesa mendiamkan diri maka terbuktilah perjuangan BRN bukanlah untuk penduduk Islam wilayah itu tetapi hanya demi kepentingan peribadi, seperti mana wakil BRN dalam proses damai sebelum ini yang terbang ke sana ke mari kononnya atas nama mewakili penduduk Islam.
Hakikatnya ketika mereka hidup selesa di luar negara, penduduk Islam terus memburu cahaya kedamaian di Selatan Thailand dan paling malang cahaya itu terus dipadamkan oleh kelompok yang mendabik dada kononnya memperjuangkan nasib mereka.

