CADANGAN kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) akan dibawa ke Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS terlebih dahulu.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri berkata gabungan itu tiada halangan untuk bekerjasama dengan PH dan BN memandangkan kerajaan negeri sedia ada juga dibentuk hasil kerjasama GRS-PH Plus.
“Dalam konteks kerjasama, kita tidak mempunyai masalah kerana kerajaan negeri hari ini adalah GRS-PH Plus.
“Namun, apa jua keputusan untuk PRN nanti, kita akan rujuk kepada AMT GRS terlebih dahulu.
Baca artikel lain: PRN Sabah: BN perhalusi cadangan bentuk grand coalition PH-BN-GRS
“Saya menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa di Sabah kita perlu melihat aspirasi tempatan bagi mewujudkan persefahaman politik demi kemajuan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kerjasama antara GRS, PH dan BN dalam PRN Sabah sebagai penting untuk menjamin kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat.
Anwar yang juga Pengerusi PH ketika dalam lawatan ke Tawau semalam berkata perbincangan mengenai kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dan GRS masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Pada Sabtu lepas, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan bersama mengesahkan kesepakatan antara PH dan BN untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

