PEMANDU Nissan Navara yang tular selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri pada hujung minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan didenda RM12,000 oleh Majkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Khairunnisak Hassni selepas tertuduh, K Darmaraju, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mahkamah mengarahkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara terbabit bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 11 Mei lepas selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Sekiranya gagal membayar jumlah denda yang dikenakan ke atasnya, Majistret Khairunnisak turut memerintahkan agar tertuduh itu dipenjarakan 12 bulan lagi.
Lelaki terbabit difahamkan membayar jumlah denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Darmaraju didakwa memandu kenderaan jenis Nissan Navara secara melulu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke pusat bandar, sebelum Plaza Tol Duta sekitar jam 2.30 petang pada 10 Mei lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Syazwan Hasifi, manakala tertuduh diwakili peguam S. Vinesh.

Sebelum ini media melaporkan pemandu Nissan Navara itu didakwa berlumba sebelum kejadian itu berlaku menerusi sebuah rakaman papan pemuka dibahagian belakang sebuah lagi kereta menunjukkan trak pikap itu dipandu laju ketika berada di lorong kanan.
Terdahulu UtusanTV melaporkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu kereta pacuan empat roda tersebut direman selama dua hari selepas laporan mengenai kemalangan itu pada 6.55 petang pada hari kejadian.
Beliau berkata, penunggang motosikal yang juga lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada bahagian buku lali, manakala isterinya yang membonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan serius.
“Wanita berusia 49 tahun itu mengalami kecederaan patah buku lali dan tulang rusuk kanan serta pendarahan dalam otak akibat pelanggaran itu, dan kedua-duanya sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya

