DUA individu warga Singapura ditemukan maut di sebuah rumah inap yang terletak di Taman Taynton View, Cheras, semalam.
Mayat lelaki berusia 43 tahun dan wanita berusia 33 tahun warga Singapura itu ditemukan dalam sebuah bilik di rumah inap berkenaan.
Mayat kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan kesemua ruang udara pada bahagian pintu dan tingkap ditutup dengan pita pelekat serta plastik sampah.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan memberitahu, kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa pada pukul 12.53 tengah hari.
Menurut beliau, ia selepas pekerja rumah inap hadir memeriksa kediaman berkenaan pada pukul 11.15 pagi selepas pengurus rumah inap itu cuba menghubungi pasangan berkenaan memaklumkan mereka belum keluar daripada premis itu tetapi gagal.
Ketika tiba di premis tersebut, Aidil berkata, pekerja rumah inap itu mendapati pintu hadapan masih berkunci dan kasut mangsa masih ada.
“Pekerja wanita itu kemudiannya mengetuk pintu tetapi tiada jawapan sebelum menghubungi pengurus rumah inap berkenaan yang mengarahnya membuka pintu menggunakan kunci pendua.
“Sebaik masuk ke dalam rumah, pekerja itu mendapati penghawa dingin, kipas siling dan televisyen masih terpasang.
“Pekerja itu mengetuk pintu salah satu bilik, namun tiada jawapan dan kemudiannya membuka tingkap bilik mendapati pasangan itu berada di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan bilik juga berbau busuk,” katanya dalam kenyataaan hari ini.
Baca artikel lain: Warden penjara maut digilis lori simen
Mengulas lanjut, Aidil berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan di bahagian badan pasangan warga Singapura itu dan tiada sebarang unsur jenayah.
Katanya, kedua-dua mayat yang masih lengkap berpakaian itu juga telah mula mereput.
Beliau memaklumkan, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan mayat ditemui mendapati pendingin hawa dan tingkap bilik dibalut dengan plastik sampah berwarna biru dan ditampal dengan pita pelekat.
“Setakat ini hubungan kedua-dua individu ini masih belum diketahui statusnya.
“Pihak polis turut menemui pemanggang berbeku yang mempunyai sisa arang yang sudah dibakar selain dua kotak arang.
“Selain itu, polis turut menemui bekas dadah disyaki jenis ketamin dalam bekas piring dalam bilik kedua-dua si mati ditemui.
“Kita masih menyiasat sejak bilakah kedua-dua si mati berada di rumah inap ini, selain punca kematian dan tujuan mereka berada di rumah inap itu.
“Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) untuk bedah siasat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

