POLIS menembak mati lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun sejak tahun lalu selepas bertindak melibas anggota polis menaggunakan sebilah parang, di Kampung Palembang, Johor, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam kejadian pada jam 3.45 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor sedang menjalankan rondaan sebelum mengesan pergerakan sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran dalam keadaaan mencurigakan.
Susulan itu menurut beliau, pihak polis telah mengekori motosikal terbabit yang ditunggang laju sebelum berjaya dipintas di kawasan tidak berturap menghala ke kawasan kebun kepala sawit.
“Semasa menghampiri kenderaan suspek untuk melakukan pemeriksaan. Lelaki itu tiba-tiba menyerang dengan melibas sebilah parang ke arah pasukan menyebabkan senjata itu mengenai lengan pakaian salah seorang anggota.
“Anggota telah mengarahkan suspek memberikan kerjasama dan menyerah diri, tetapi suspek masih bertindak agresif dan terus menyerang ke arah pihak polis secara bertubi-tubi menyebabkan tembakan dilepaskan dan mempertahankan diri dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumar menambah, suspek itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Polis turut merampas sebilah parang, wang tunai berjumlah RM1,900, dua unit telefon bimbit dan sebuah motosikal jenis Honda Wave bagi siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati salah satu telefon bimbit yang dijumpai bersama suspek merupakan kepunyaan mangsa kes samun di Kluang manakala motosikal yang digunakan telah dilaporkan hilang di Kulai,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kumar berkata hasil maklumat dan risikan yang dijalankan mendapati suspek dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah samun sejak 2024.
Justeru katanya, polis mengesahkan berjaya menyelesaikan lima kes samun di Kluang, manakala satu lagi kes di Kota Tinggi.
Kes diklasifikasikan serta disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan laporan mati mengejut.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

