PENGANJURAN acara Truck Fighter 1.0 Meet & Show yang telah berlangsung di pekarangan parkir Stadium Shah Alam, semalam berjaya mengumpulkan lebih 5,000 peminat dunia automotif di negara ini.
Acara yang julung kali diadakan itu juga merupakan perhimpunan terbesar bagi komuniti dan pemilik kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Malaysia.
Selain menghimpunkan komuniti 4×4, penganjuran program Truck Fighter 1.0 itu juga merupakan usaha bagi menyediakan platform untuk menyatukan peminat dunia automotif terutama generasi muda dan para usahawan bengkel 4×4 di seluruh negara.
Program anjuran Zaki GM Garage Sdn Bhd itu juga memupuk inovasi dan kreativiti dalam dunia automotif khususnya dalam bidang modifikasi serta teknologi kenderaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Zaki GM Garage Sdn Bhd, Azmar Zaki Ayub berkata, acara tersebut juga bukan sekadar platform kepada dunia 4×4 tetapi turut membawa gaya hidup keluarga yang sarat dengan elemen perkongsian dan interaksi dalam kalangan komuniti.
Menurut Azmar Zaki, Truck Fighter 1.0 turut mahu memperluaskan kerjasama dalam bidang permotoran termasuk meningkatkan jenama bengkel perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Baca artikel lain: Truck Fighter 1.0 bakal himpun 5,000 pemilik 4×4
“Ia turut menjadi platform penting untuk membina rangkaian kerjasama bukan sahaja di seluruh negara tetapi juga dengan negara jiran lain seperti Thailand, Singapura dan Indonesia sekali gus memperkukuh hubungan dalam industri permotoran serantau.
“Dimensi jaringan ini turut diperluas melalui kehadiran wakil syarikat automotif terkemuka serta undangan dari Thailand yang membuka ruang luas bagi membina hubungan strategik dan pertukaran pengalaman berharga dalam industri permotoran 4×4,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azmar Zaki berkata, kehadiran wakil dari negara-negara jiran turut berkongsi kepakaran dan teknologi baharu khususnya dalam bidang seni dan inovasi permotoran 4×4.
Katanya, pertukaran teknologi itu dijangka dapat meningkatkan kemajuan industri permotoran tempatan terutama 4×4.
“Selain aspek permotoran, program ini juga mengambil inisiatif mengumpulkan data sukarelawan dari setiap negeri sebagai persediaan menghadapi bencana, membolehkan tindakan pantas dan koordinasi lebih efektif pada masa hadapan.
“Dengan sambutan yang menggalakkan serta penyertaan pelbagai pihak, Truck Fighter 1.0 Meet & Show membuktikan potensi besar komuniti 4×4 sebagai pemacu inovasi, jaringan industri dan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

