GURU wanita dan ‘abang wiring dan CCTV’ yang tular di laman sosial baru-baru ini, masing-masing didenda maksimum RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini kerana cubaan berzina.
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 31 tahun selepas mereka mengaku bersalah.
Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati telah melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan bukan isteri atau suami yang sah di sisi syarak di sebuah rumah di Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah pada 9 malam 28 Februari lepas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Baca artikel lain: Wanita yang berwangian ibarat penzina dan tidak diterima solatnya?
Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka Atras Mohamad Zin yang dibantu pendakwa syarie Radzwan Abdullah memohon satu hukuman maksimum berbentuk pengajaran agar menjadi teladan kepada kedua-dua tertuduh dan umat Islam lain.
Ketika rayuan, guru wanita itu dalam keadaan sebak memohon agar hukuman diringankan atas faktor kewangan.
“Selain itu, saya juga mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun yang kini menjadi tanggungan saya serta perlu menjaga kedua ibu bapa yang tidak sihat,” katanya.
Lelaki itu turut merayu hukuman ringan atas faktor menghadapi kesukaran bekerja selepas kes itu viral.
“Saya sanggup mengambil tanggungjawab terhadap beliau (wanita itu) malah saya juga telah melakukan solat taubat,” katanya.
Media sosial sebelum ini tular dengan isu berkaitan guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang atau dikenali ‘abang wiring’ apabila wanita itu tampil membuat permohonan maaf sehingga mendapat kecaman warganet.
Ia susulan perbuatan tidak bermoral guru itu terbongkar apabila beberapa tangkap layar perbualan berunsur lucah dan tidak senonoh antara dia dengan lelaki berkenaan tular di aplikasi WhatsApp.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

