KEDUDUKAN seseorang individu dalam Jemaah Menteri adalah atas mandat parti yang diwakili, bukannya atas kapasiti peribadi.
Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Azalina, UMNO mengambil maklum keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tidak lagi bersama parti itu.
Pada masa sama, beliau berkata, UMNO menghormati kebebasan individu dalam membuat pilihan politik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, setiap menteri yang dilantik adalah wakil rasmi parti masing-masing.
Justeru, kata beliau, Biro Undang-Undang UMNO telah diminta meneliti implikasi Akta AntiLompat Parti termasuk kedudukan seorang senator bagi memastikan semua tindakan selanjutnya mematuhi kerangka perundangan.
“Walaupun Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Perpaduan, namun setiap menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Baca artikel lain: Keputusan Tengku Zafrul tak jejas kedudukan sebagai menteri – Anwar
Mengulas lanjut, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, beliau menggesa ahli dan penyokong supaya kekal fokus kepada pembangunan negara.
Katanya, politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal.
“UMNO tetap komited memberi khidmat kepada negara dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan akan terus menunaikan amanah rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Zafrul menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau juga mengesahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO sudah pun diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Tengku Zafrul turut mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

