SEORANG remaja berusia 17 tahun yang disyaki membunuh ibu dan abang kandungnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, semalam direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari bermula hari ini sehingga 19 Jun depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ia bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, UtusanTV melaoporkan seorang pelajar Tingkatan 5 ditahan polis selepas dipercayai membunuh ibu dan abangnya serta mencederakan adik bongsunya di rumah mereka, sekitar jam 5 pagi.
Mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 51 tahun dan anak lelakinya berusia 21 tahun ditemukan berlumuran darah di jalan hadapan rumah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita itu bekerja sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), manakala anak sulungnya pelajar kolej di Melaka.
Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai gara-gara tekanan perasaaan dan dendam suspek ekoran sering dipaksa untuk belajar bagi mendapat keputusan cemerlang.
Adik bongsu suspek berusia 13 tahun dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka dan dilaporkan stabil.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

