SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) susulan dapatan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berkaitan ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola melibatkan universiti itu.
Menurut suruhanjaya terbabit, siasatan awal akan bermula minggu depan bagi meneliti sama ada terdapat kelemahan tatakelola atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa SPRM.
“Siasatan akan tertumpu kepada perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
“Ini termasuk dakwaan ketidakaturan serius dalam pengurusan kewangan universiti, kutipan yuran tanpa kuasa dan hasil yang tidak direkodkan atau tidak diakaunkan dengan sewajarnya,” jelasnya dalam kenyataan.
SPRM memberitahu, siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.
Tegas SPRM, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau undang-undang lain yang berkaitan.
“Suruhanjaya komited memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta menjaga kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara,” katanya.
LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendedahkan, UKM berdepan ketidakaturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan.

