MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dikurniakan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) membawa gelaran Datuk Seri Panglima mendahului senarai 1,015 penerima Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Kehormat Negeri Sabah 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Turut menerima SPDK Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, serta ahli perniagaan Datuk Ahmad Fuad Md Ali dan Datuk Lim Yu Ming.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Dr Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan merupakan antara 78 penerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) membawa gelaran Datuk.
Penerima PGDK yang lain termasuk Ahli Dewan Negara Anna Bell @ Suzieana Perian; Ahli Parlimen Labuan Dr Suhaili Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang dan ADUN Pantai Manis Mohd Tamin Zainal.
Baca artikel lain: Akaun WhatsApp Saifuddin Nasution digodam guna VPN luar negara
Turut menerima anugerah Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Alexander Siew How Wai, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rahman Ishak.
Turut menerima PGDK, Panglima Briged Ke-13 Infantri Malaysia Brig Jen Jagjit Singh Indar Singh; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman; Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim; Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Joehari Mohd Ayub dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah Ramlan Awang Ali.
Sementara itu, seramai 100 orang dikurniakan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 181 dikurniakan Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 248 penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 285 penerima Bintang Kinabalu (BK), 109 menerima Perkhidmatan Terpuji dan 10 penerima Jaksa Pendamai.
Tiga petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah turut disenarai iaitu wartawan berpengalaman Emin Madi juga Pemberita Biro Sabah dikurniakan PGDK membawa gelaran Datuk, Ketua Biro Sabah Fadzli Ramli dikurniakan ADK dan Jurufoto Biro Sabah Zamain Singkui dikurniakan BSK.
Sesi pertama Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Kehormat Negeri Sabah 2025 dijadual disempurnakan Tun Musa di Istana Seri Kinabalu hari ini.
–BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

