KONSERT Cinta Nostalgia Krisdayanti yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lalu berlangsung dengan penuh meriah sekaligus meninggalkan memori ‘mahal’ untuk peminat yang hadir pada malam itu.
Meskipun berlaku pertukaran lokasi, kira-kira 2,300 penonton tetap hadir memeriahkan konsert dan terhibur dengan persembahan bertenaga daripada diva tersohor Indonesia itu.
Jelas sekali, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menyaksikan Krisdayanti membuktikan dirinya sebagai figura seni yang hebat dan berpengaruh.
Menariknya, penyanyi berusia 50 tahun itu tidak hanya tampil menyanyi di atas pentas, malah turut mendekati penonton apabila turun dari pentas, berjalan mengelilingi dewan sambil menyanyikan lagu, menyapa serta berinteraksi secara langsung bersama para peminat.

Suasana intim dan mesra yang diwujudkan menjadikan persembahan malam itu terasa lebih peribadi dan menyentuh jiwa.
Kehadiran penonton yang turut menyanyikan hampir setiap lagu bersama Krisdayanti menambah kemeriahan konsert tersebut.
Antara momen paling mencuri perhatian adalah ketika Krisdayanti menghampiri tempat duduk VIP yang menempatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk K, sambil menyanyikan bait lagu sebelum menjemput biduanita negara itu ke pentas.

Detik istimewa itu menjadi lebih bermakna apabila Siti tanpa ragu menyampaikan lagu Cindai dengan penuh penghayatan. Walaupun dijemput secara spontan, persembahannya tetap memukau, membuktikan keunggulannya sebagai penyanyi nombor satu negara.
Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan kemunculan Mimi Fly, yang bersama Siti dan Krisdayanti menyanyikan lagu Jika Kau Tak Datang, yang diambil daripada album ikonik CTKD – gabungan nama dua diva hebat, CT (Siti) dan KD (Krisdayanti).

Krisdayanti juga mengundang anak perempuannya, Aurelie Hermansyah, serta cucu-cucunya, Ameena dan Azura, bersama Arianna Amora Lemos ke atas pentas. Mereka menyanyikan beberapa lagu bersama, antaranya Timang-Timang ciptaan Anang Hermansyah dan Bertubi-Tubi hasil karya Melly Goeslaw.

“Saya masih ingat tahun 1998, ketika saya dukung Aurel sambil mempromosikan lagu ‘Menghitung Hari’. Hari ini, saya berdiri di sini bersamanya, yang kini seorang wanita dewasa dan ibu kepada dua anak comel. Terima kasih, sayang,” luah Krisdayanti dalam nada sebak yang menyentuh hati ramai.
Satu segmen istimewa turut ditampilkan menerusi tayangan video throwback perjalanan awal karier seni Krisdayanti – dari saat mula menempa nama sehinggalah menerima pelbagai anugerah berprestij di Indonesia dan Malaysia.
Penonton turut dipertontonkan klip kolaborasi dirinya bersama nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, Melly Goeslaw dan ramai lagi. Momen ini turut mengundang rasa sebak buat Melly Goeslaw yang kelihatan menitiskan air mata menyaksikan sahabatnya berdiri megah di pentas dengan penuh emosi dan penghayatan.

Elemen glamor juga tidak dilupakan. Krisdayanti tampil anggun dalam empat persalinan eksklusif bertemakan keemasan, memancarkan aura elegan dan kemewahan. Salah satu busana yang paling mencuri perhatian merupakan rekaan khas pereka terkenal Rizman Ruzaini, yang disiapkan dalam tempoh hanya dua minggu.
Setiap persalinan menonjolkan pesona Krisdayanti sebagai primadona dan sejajar dengan tema konsert yang berlandaskan kenangan, keindahan dan keanggunan.
Secara keseluruhan, dengan gabungan pencahayaan dan sistem audio yang mantap, Konsert Cinta Nostalgia ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, malah turut membawa penonton melalui sebuah perjalanan emosi yang mengesankan.

Konsert yang dibawakan oleh JBProduction ini juga menjadi penawar rindu buat para peminat yang merindui kelibat Krisdayanti sejak konsert terakhirnya di Malaysia pada 2017 menerusi Konsert Romansa Krisdayanti.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

