LEBIH berdekad menantikan peluang, akhirnya kumpulan hip-hop era 90-an iaitu 4U2C teruja bakal mengadakan konsert berskala mega buat peminat.
Konsert bertemakan Bringin’ Back Da 90’s Flava itu dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.
Penganjuran acara itu sekaligus menyaksikan pemampilan tujuh anggotanya iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam dalam konsert WE 4U2C Live in Concert.
Kata AC atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, idea asal itu datang daripada isterinya, Datin Emylia Rosnaida.
“Saya sudahlah lama sebenarnya berimpian nak buat konsert. Idea untuk konsert ini pun datang daripada isteri saya, sebelum penganjur Juss Event beri tawaran untuk 4U2C kembali buat konsert.
“Tawaran itu seperti impian jadi kenyataan. Peluang ini hadir pada masa yang tepat.
“4U2C berjanji akan berikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir menonton konsert kami,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media konsert WE 4U2C di sebuah hotel di ibu negara.

Ditanya apa yang membuatkan semangatnya untuk tampil dengan konsert pada tahun ini, katanya AC, semuanya disebabkan kumpulan KRU yang berjaya menganjurkan konsert selama empat hari pada bulan lalu.
“Lagu-lagu 90-an kembali hits selepas KRU berjaya menganjurkan konsert mereka sekaligus memberi peluang kepada kumpulan 90-an seperti kami untuk kembali.
“Kami nak kongsi memori sewaktu kegemilangan 4U2C bersama dengan peminat pada malam konsert nanti,” ujarnya.
Pada masa sama, konsert tersebut bukanlah tanda 4U2C akan menutup buku dalam industri muzik, sebaliknya mereka bakal tampil dengan tiga lagu baharu.
“Kami adalah kumpulan pertama yang berkebolehan menyanyi sambil menarik ketika buat persembahan.
“Jadinya, kami nak jadi trendsetter untuk kembalikan sejarah lalu.
“Di Malaysia ini ada saja penyanyi berkualiti, bukan hanya sekadar bersandarkan pada persembahan semata-mata,” katanya.
Tiket konsert WE 4U2C dijual pada harga RM155 hingga RM555 melalui platform Ticket Empire dan Fantopia, mulai 30 Jun ini.
Komposer Aubrey Suwito diberi peranan sebagai pengarah muzik bagi konsert itu selain dibantu oleh 14 pemuzik profesional.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

