POLIS mengesahkan telah menerima tujuh laporan berhubung kejadian beberapa buah kenderaan yang diparkir di bahu jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie, Shah Alam mengalami kerosakan teruk dipercayai terlibat dalam satu insiden langgar lari, petang semalam.
Ketua Polis Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, jumlah laporan yang diterima oleh pihaknya itu adalah setakat jam 4 petang, hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, beberapa kenderaan yang diparkir berhampiran stesen LRT berkenaan telah dilanggar sebuah lori yang tidak dikenal pasti.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemilik yang meletakkan kenderaan di tepi jalan untuk menggunakan khidmat LRT ke tempat kerja dan hanya menyedari kenderaan mereka dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan berat semasa pulang dari kerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Pegawai penyiasat sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan berhampiran bagi mengenal pasti kenderaan terlibat,” ujarnya lagi.
Justeru Mohd Iqbal menyeru agar mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875.
Terdahulu tular di media sosial sejak semalam, rakaman video yang memaparkan beberapa buah kereta pelbagai jenis mengalami kerosakan teruk seperti kemik di bahagian pada bahagian hadapan dan sisi kanan kenderaan selain cermin pecah, disyaki akibat dilanggar.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

