MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman semasa menjalankan Ops Samseng Jalanan di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Saifuddin meluahkan rasa sedih apabila menerima perkhabaran duka tersebut.
Beliau turut berharap semoga keluarga Muhammad Amirul Aiman tabah menghadapi dugaan yang besar itu.
“Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya, menempatkan roh beliau bersama yang beriman dan menganugerahkan pahala untuk segala jasa sumbangannya kepada negara,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan isterinya merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia (Perkep), Datin Sri Munirah Che Rose turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham Lans Koperal Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” katanya.
Baca artikel lain: Anggota polis trafik maut terlibat kemalangan ketika bertugas
Muhammad Amirul Aiman, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi anggota yang menunggang motosikal di belakang mangsa mengalami cedera ringan, selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching arah Jalan Tun Razak menghala ke Selayang pada 4.30 pagi, semasa menjalankan penugasan Operasi Pencegahan Samseng Jalanan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa, hilang kawalan di laluan berselekoh sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terjatuh ke bawah tebing.
Beliau berkata ketika kejadian, kedua-dua anggota terbabit sedang melaksanakan tugasan pemantauan dan pencegahan aktiviti samseng jalanan di sekitar kawasan Kuala Lumpur.
Mohd Zamzuri berkata Allahyarham Muhammad Amirul Aiman berkhidmat di JSPT KL sejak menamatkan latihan dan bertugas di Bahagian Risikan/Operasi selama lebih setahun.
“Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Ajil, Terengganu hari ini,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

