PENYERANG berasal dari Brazil, Chrigor Moraes secara rasmi menjadi pemain import kedua terbaharu Selangor FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia serta perlawanan antarabangsa ACLTWO dan Kejohanan Kelab ASEAN musim 2025/26.
Pengumuman itu disahkan skuad Gergasi Merah dalam kenyataan hari ini.
Bekas pemain PT Prachuap FC di Thai League 1 itu mencatatkan 10 gol dan dua bantuan gol dalam hanya 13 perlawanan liga, musim lalu.
Beliau memulakan kerjaya profesionalnya bersama Brasil de Pelotas untuk dua perlawanan di Serie B pada 2018 sebelum kariernya terus berkembang bersama Red Bull Brasil.
Moraes kemudiannya diserap ke pasukan utama Red Bull Bragantino dan mencatat dua gol dalam sembilan penampilan di Serie A Brazil sebelum dipinjamkan ke beberapa kelab seperti America Mineiro, Novorizontino, Ituano, dan Inter de Limeira bagi mematangkan corak pemainnya.
Rekod terbaik Moraes di Brazil adalah pada tahun 2023 apabila dia menyertai Portuguesa dan mengumpul tujuh gol dalam 12 perlawanan Copa Paulista, sekali gus membuka jalan untuknya melebarkan sayap untuk julung kalinya ke luar negara.
Penggempur berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak bersama Buriram United FC semasa pertengahan musim 2024 yang mana dia tampil cemerlang dalam Liga Thai dengan menyumbang tujuh gol dalam 14 perlawanan termasuk dalam aksi dalam ACL Elite dan Keuaraan Kelab ASEAN.
Baca artikel lain: Mickey kekal bersama Selangor FC
Moraes dalam kenyataan berharap dapat menyesuaikan diri dengan pantas bersama pasukan baharunya dan telah pun membuat ‘kerja rumah’ sebelum terbang ke Malaysia.
“Secara jujurnya saya amat teruja untuk memulakan fasa baharu ini. Beraksi di luar negara pastinya datang dengan cabaran yang tinggi, tetapi saya datang dengan hati yang terbuka dan tekad untuk berusaha keras bagi menyesuaikan diri dengan secepat mungkin.
“Dari pengalaman saya di Thailand, cara tersebut membantu saya selesa dengan budaya pasukan dengan cepat.
“Dalam masa yang sama, saya juga telah membuat kaji selidik berkenaan dengan kelab ini dengan menonton perlawanan, mengikuti perjalanan pasukan di media sosial, dan cuba memahami corak permainan yang digunakan,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Moraes mengakui perlu banyak belajar terutama dari segi bahasa, namun komited untuk bekerja keras demi Gergasi Merah.
“Selain itu, saya lihat sokongan daripada para penyokong dan semangat yang mereka tunjukan sangat menakjubkan.
“Saya juga amat hargai kata-kata semangat yang dihantar oleh para penyokong di Instagram dan saya tidak sabar untuk beraksi di padang untuk para penyokong. Saya berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada Selangor FC,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

