KUMPULAN 4U2C mengambil serius dan sama sekali tidak memandang ringan mengenai isu hak cipta lagu yang akan dipersembahkan pada konsert We 4U2C Live In Concert, 15 September depan.
Ia susulan isu tersebut disuarakan penerbit Man Senoi serta isterinya iaitu Mama Rap yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penganjuran konsert berkenaan kerana mempunyai hak terhadap 25 lagu nyanyian kumpulan itu.
Menurut ahli kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, dia dan anggota lain tidak pernah membelakangkan undang-undang muzik di Malaysia, sebaliknya mereka akan mencari solusi terbaik dalam menyelesaikan kemelut isu hak cipta lagu secara profesional.

“4U2C tidak memandang remeh isu hak cipta lagu yang sedang hangat diperkatakan, malah kami menghormati karya seni dan undang-undang muzik yang telah ditetapkan.
“Apa boleh saya katakan, kami professional dan akan cuba selesaikan perkara ini menggunakan saluran yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, menurut jurucakap Juss Events iaitu Shasha Marican, sebagai penganjur konsert We 4U2C, pihaknya sudah berjumpa dengan Badan PerlindunganHak Cipta Muzik Berhad (MACP) bagi mendapat nasihat mengenai isu yang dibangkitkan.

Bersyukur pertemuan tersebut berlangsung dengan baik, pihak penganjur juga berjanji akan mengikuti segala nasihat yang diberikan dan mematuhi undang-undang hak cipta lagu yang telah ditetapkan.
“Pihak pengurusan bersama wakil 4U2C telah berhubung dengan agensi-agensi wajib seperti MACP untuk mendapatkan penjelasan dan nasihat berhubung isu hak cipta lagu.
“Kami bersyukur pertemuan tersebut berlangsung dengan baik dan panduan yang diberikan akan kami turuti pada konsert yang akan berlangsung nanti menepati undang-undang hak cipta lagu di Malaysia,” ujarnya.
Tambah Shasha, Juss Events komited dalam mencari jalan terbaik menyelesaikan isu hak cipta lagu ini dan enggan perkara tersebut terus berlanjutan.
Malah, sebagai pihak penganjur juga, Juss Events akan memastikan undang-undang muzik Malaysia dipatuhi dan semua pihak akan diberikan penghormatan sewajarnya termasuk pencipta lagu itu sendiri.
“Kami komited mahu menyelesaikan isu hak cipta lagu ini kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan bagi mana-mana pihak.
“Selain itu, kami akan pastikan pihak kami mematuhi undang-undang muzik Malaysia dan pihak-pihak berwajib termasuk pencipta asal lagu diberikan penghormatan sewajarnya,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

