“PULANGLAH Farisha… kami sekeluarga rindu dan sayangkan Farisha”.
Demikian luahan seorang abang yang sedang mengesan keberadaan adik bongsunya berusia 18 tahun yang hilang, sejak awal bulan lalu.
Bercerita kepada UtusanTV, Danish Iman Rozzaman, 20, berkata dia dan keluarga tidak dapat menghubungi dan mengesan keberadaan remaja itu sejak 10 Jun lalu.
Katanya, mereka sekeluarga hanya menyedari kehilangan adik bongsunya, Nur Farisha Aqilah selepas pulang dari kampung di Klang.
“Pada 10 Jun lepas, saya bersama-sama ibu bapa pulang ke kampung di Bukit Kapar, Klang kira-kira jam 9 pagi dan sebelum bertolak, ibu ada bertanya kepada adik sama ada dia mahu ikut atau tidak.
“Adik balas tak mahu dan apabila kami pulang semula ke rumah kira-kira jam 2 petang, kami dapati dia tiada di rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan itu, dia bersama-sama keluarga cuba mengesan Nur Farisha di sekitar kampung selain bertanya kepada rakan-rakan remaja itu sebelum membuat laporan polis pada 11 Jun selepas usaha-usaha mengesannya gagal.
Bercerita lanjut, Danish Iman percaya bahawa adiknya itu menghilangkan diri selepas merajuk ekoran tidak dibenarkan menyambung pelajaran Tingkatan Enam di sebuah sekolah di Telok Datok, kerana dihalang bapanya.
“Sekolah itu jauh dari kediaman keluarga kami di Telok Panglima Garang dan ayah risau jika dia nak berulang alik setiap hari dengan menaiki motosikal,” ujarnya lagi.
Menurutnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu seorang yang pendiam dan sukar meluahkan masalahnya kepada ahli keluarga.
“Saya tak nampak adik tertekan, cumanya mungkin dia terlalu melayan perasaan sehingga terlintas dalam fikiran keluarga tidak menyayanginya.
“Realitinya dia ditatang bagai minyak yang penuh,” katanya lagi.
Danish turut memberitahu keadaan emosi ibunya sangat tidak stabil kerana terlalu mengenangkan keadaan Nur Farisha di luar sana.
Danish dan keluarganya mengesyaki Nur Farisha kini berada di Kuala Lumpur memandangkan remaja itu pernah menyatakan hasrat untuk bekerja di ibu negara kepada kawan-kawannya sebelum ini.
“Di mata saya, dia masih kecil dan belum matang untuk menghadapi dunia luar,” katanya.
Danish turut menyeru bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat atau dapat mengesan keberadaan Nur Farisha untuk menghubunginya di talian 016-812 1363.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

