UMNO patut selesaikan isu Hishammuddin bukan ‘menyibuk’ soal Tengku Zafrul

Dari Penulis

PENULIS tersenyum apabila membaca kenyataan  Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sekali lagi menegaskan tidak wajar bagi parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti komponen.

Katanya, ia adalah antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“UMNO berasakan tiada kewajaran untuk parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti komponen gabungan (yang membentuk) kerajaan untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan,” katanya selepas mesyuarat berkenaan pada 1 Julai lalu.

 Sudah pasti kenyataan Asyraf Wajdi itu merujuk kepada keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Mei lalu yang mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tengku Zafrul berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.

Kalau meneliti penjelasannya, Tengku Zafrul sudah menyatakan, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa yang panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.

“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi,” katanya.

Apa yang menarik perhatian, kenyataan Asyraf Wajdi itu dibuat ketika UMNO Bahagian Sembrong mengemukakan usul kepada MKT untuk menamatkan penggantungan enam tahun keahlian Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun dalam kenyataannya, Asyraf Wajdi menyatakan, MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.

Manakala kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi memberitahu media, isu Hishammuddin tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu dengan berkata, ‘’Tidak ada bincangkan. Tidak begitu penting soal itu.’’

Hishammuddin Tun Hussein bersama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – GAMBAR FB HISHAMMUDDIN HUSSEIN.

Persoalannya, kenapakah UMNO terlalu terganggu dengan tindakan Tengku Zafrul yang pastinya bertindak keluar darpada UMNO dengan kehendak sendiri berbanding Hishammuddin yang terus setia bersama UMNO biarpun digantung keahlian selama enam tahun tanpa dinyatakan apakah kesalahan beliau?

Berdasarkan rekod perjalanan politik antara Hishammuddin dan Tengku Zafrul, kes Hishammuddin jauh lebih layak untuk dipertimbangkan atau dibincangkan oleh MKT. Ia memandangkan Hishammuddin bukannya calang-calang pemimpin dalam UMNO berbanding Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul aktif dalam UMNO sejak 1997 dan memegang jawatan dalam parti sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Ketua UMNO Bahagian Kota Raja. Beliau bertanding pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di kerusi Parlimen Kuala Selangor tetapi tewas kepada  penyandang, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH).

Bagaimana dengan Hishammuddin? Beliau menjadi Ahli Parlimen Tenggara mulai 1995 hingga 1999 dan seterusnya berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya Hishammuddin menjadi Ahli Parlimen Sembrong mulai Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 2004.

Sepanjang perjuangan bersama UMNO beliau memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2000 hingga 2008 seterusnya terpilih sebagai Naib Presiden UMNO dari 26 Mac 2009 hinggalah 12 Mei 2018.

Dalam kerajaan pula beliau selain pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (11 Mei 1995 hingga 18 Ogos 1997) dan Timbalan Menteri di Kementerian Perusahaan Utama  (12 November 1996 hingga 14 Disember 1999, Hishammudin dilantik sebagai  Menteri Belia dan Sukan (14 Disember 1999 hingga 3 Mac 2004), Menteri Pendidikan (30 Mac 2004 hingga 8 April 2009), Menteri Dalam Negeri (10 April 2009 hingga 5 Mei 2013) dan Menteri Pertahanan (16 Mei 2013 hingga 10 Mei 2018) serta Menteri Luar (10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021).

Berdasarkan rekod itu sepatutnya UMNO tidak harus dilihat ‘terhengeh-hengeh merintih’ dengan keputusan Tengku Zafrul yang dikatakan mahu menyertai PKR. Percayalah, UMNO tidak akan mampu menghalang hasrat Tengku Zafrul. Ia memandangkan Tengku Zafrul hanya ahli UMNO bukannya Ahli Parlimen seperti mana Hishammuddin. Tindakan Tengku Zafrul adalah atas perhitungan sendiri dan ia hak demokrasi beliau untuk memilih parti mana mahu disertai.

Lagipun adakah UMNO yakin rintihan mereka bahawa tidak wajar bagi parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti komponen akan dipatuhi oleh PKR? Siapa UMNO mahu menyekat kebebasan politik Tengku Zafrul?

Sepatutnya UMNO berusaha menyelesaikan isu melibatkan penggantungan dan pemecatan beberapa pemimpin UMNO seperti Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan. Mereka inilah seharusnya menjadi keutamaan untuk dibawa kembali ke dalam UMNO bagi memperkukuhkan parti tersebut.

Tetapi entah mengapa dalam kalangan pemimpin UMNO, mereka keberatan berbuat demikian dengan pelbagai alasan termasuklah bercakap soal pemimpin yang digantung atau dipecat perlu membuat rayuan! Soalnya adakah pemimpin seperti Hishammuddin diberitahu secara jelas apa kesalahan yang menyebabkan beliau digantung selama enam tahun?

Bagaimana mahu membuat rayuan, kalau tidak ada tuduhan spesifik? Adakah hukuman dikenakan benar-benar mereka yang terlibat bersalah atau ada motif politik di sebaliknya?  Penulis hanya bertanya memandangkan terlalu banyak spekulasi yang bergentayangan dan itu belum lagi mengambil kira tafsiran ada pemimpin UMNO yang bimbang dengan aura Hishammuddin dan Khairy jika kembali ke dalam UMNO.

Apapun  adalah lebih wajar jika UMNO menyelesaikan isu Hishammuddin itu dengan sebaik-baiknya.  Jangan ingat apabila MKT UMNO menolak usul UMNO Sembrong, ia hanya mengecewakan UMNO bahagian itu sahaja. Penulis percaya bahagian-bahagian UMNO lain khususnya di Johor turut kecewa, apatah lagi adegan politik yang berlaku melibatkan cucu kepada pengasas UMNO, Dato’ Onn Jaafar dan terjadi di negeri kelahiran UMNO.

 Selain itu, penulis juga percaya, ‘protes’ UMNO terhadap hasrat Tengku Zafrul untuk menyertai PKR tidak akan ke mana. Ia kerana UMNO perlu sedar mereka tidak ada apa-apa kekuatan untuk melawan kehendak politik PH. Dan menjadi hak PKR untuk menerima sesiapa yang mahu menyertai parti itu.

Tidak timbul soal akan mewujudkan ketidakharmonian dalam Kerajaan Perpaduan kerana pemimpin UMNO pun sudah menyatakan kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermaksud parti itu bergabung dengan PH.

Kalau itulah tafsirannya maka isu Tengku Zafrul adalah isu politik kepartian tidak ada kaitan dengan urusan pentadbiran kerajaan kerana UMNO pun menyatakan berkali-kali mereka menyertai Kerajaan Perpaduan demi langkah strategik untuk memastikan pentadbiran negara kekal stabil.

Oleh itu tak kanlah penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara parti-parti dalam kerajaan. Atau mungkin juga UMNO bercakap soal itu untuk mengalih isu Hishammuddin atau hendak tunjuk kononnya mereka mempunyai ketegasan tetapi hakikatnya ia terlambat kerana parti-parti komponen dalam PH sudah banyak berjasa kepada UMNO apabila bersedia menerima parti Melayu yang ditolak rakyat dalam PRU-14 itu berada dalam kerajaan.

Justeru UMNO tidak perlu membuang masa bercakap soal Tengku Zafrul, lebih baik selesaikan segera kes Hishammuddin dengan sebaik-baiknya kerana penulis yakin isu bekas Naib Presiden itu lebih besar impaknya berbanding Tengku Zafrul…kenapa penulis berkata demikian? Sama-samalah kita tunggu apa akan berlaku selepas ini.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Saya tidak pernah U-turn, pendirian tetap sama isu PTPTN, kata Adam Adli

"Saya tidak pernah rasa saya berubah pandangan, buat U-turn dan sebagainya. Saya keras dengan pandangan saya." Demikian penegasan Timbalan Menteri...

More Articles Like This