ISU teknikal dikenalpasti menjadi punca wujudnya ralat yang menyebabkan paparan graf penggunaan elektrik bagi bulan Julai dalam aplikasi myTNB menjadi tidak tepat.
Perkara itu dimaklumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut TNB, graf penggunaan elektrik itu tidak dipaparkan buat sementara waktu.
Pada masa sama, syarikat utiliti nasional itu memberi jaminan bahawa bacaan penggunaan elektrik untuk bulan Julai tidak akan terjejas.
“TNB ambil maklum sedang tular di media sosial bahawa sesetengah pelanggan mungkin melihat graf penggunaan kilowatt per jam (kWh) bulan Julai yang tinggi dalam aplikasi myTNB.
“Atas isu teknikal, terdapat ralat yang menyebabkan paparan graf penggunaan bulan Julai tidak tepat dan graf tersebut tidak dipaparkan buat sementara waktu,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: TNB jamin mahasiswa tidak terjejas rentetan kenaikan tarif elektrik
Mengulas lanjut, TNB memberitahu, pelanggan boleh menyemak bil muktamad selepas tempoh pengebilan.
“Kami sedang mengambil tindakan dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, pengguna meluahkan rasa tidak puas hati dan bimbang apabila bil elektrik kediaman mereka berkemungkinan melonjak tinggi bermula bulan ini.
Ia susulan graf penggunaan elektrik dalam aplikasi myTNB yang memperlihatkan lonjakan mendadak berbanding bulan sebelumnya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan jadual tarif elektrik baharu yang akan berkuat kuasa bermula 1 Julai 2025 sehingga 31 Disember 2027.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif selaras kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

