LIMA cedera selepas sebuah bas ekspres merempuh tiga kenderaan dalam satu kemalangan di Kilometer 15, Jalan Ranau-Tamparuli, Ranau, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, bas ekspres yang membawa 22 penumpang bersama seorang pemandu dan seorang konduktor dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna.
Bas berkenaan dipercayai dipandu laju sebelum memotong di garisan berkembar, lalu melanggar Perodua Ativa, Proton Saga dan sebuah lori treler di hadapan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 65 tahun itu memotong secara berbahaya sebelum bergesel dengan sisi kanan Perodua Ativa yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
“Bas itu kemudian melanggar bahagian belakang Proton Saga dipandu lelaki berusia 51 tahun, sebelum kereta itu tersorong ke hadapan dan melanggar belakang treler di hadapannya.
“Lima mangsa yang cedera terdiri daripada pemandu bas, pemandu Proton Saga dan tiga penumpang bas ekspres iaitu seorang wanita dan dua lelaki. Semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Ranau” katanya memetik laporan Info-X.
Menurutnya, pemandu Perodua Ativa dan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ujian darah dan air kencing akan diambil daripada pemandu bas bagi mengesan kehadiran alkohol atau bahan terlarang.
“Semakan turut mendapati pemandu bas mempunyai tiga saman yang masih belum dijelaskan.“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Terdahulu, malam tadi, tular beberapa rakaman dashcam memaparkan sebuah bas ekspres yang memasuki laluan bertentangan dan hampir melanggar kenderaan lain.
Turut tular, satu lagi rakaman menunjukkan bas ekspres sama memasuki laluan yang bukan laluannya ketika melalui Bulatan Kubis Kundasang.

