UMNO Kelantan mohon tahanan rumah Najib segera dilaksana

Dari Penulis

UMNO Kelantan meminta supaya pelaksanaan titah tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak segera dilaksanakan supaya membuktikan proses perundangan yang telus dan adil.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub meluahkan rasa syukur apabila titah adendum melibatkan tahanan rumah kepada Najib disahkan wujud oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata, UMNO Kelantan turut memohon kerajaan menghentikan segala prosiding pendakwaan selari dengan keabsahan titah adendum itu.

“Ia sekali gus dapat menangkis tanggapan negatif oleh rakyat sebelum ini.

“Saya dan seluruh ahli UMNO negeri Kelantan berdoa agar Datuk Seri Najib mendapat keadilan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati pandangan semua pihak berkaitan Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata isu terbabit masih dalam urusan mahkamah.

Baca artikel lain: ‘Afidavit saya benar, titah adendum bukan hear say’, Wan Rosdy doa Najib diberi keadilan

UMNO turut merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Rabu lalu, AGC dilapor tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dihujahkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan pada prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This