Isu badan kehakiman: PN desak PM letak jawatan, tubuh RCI siasat salah laku

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PERIKATAN Nasional (PN) mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan berhubung isu badan kehakiman mengenai pelantikan hakim.

Ia susulan pendedahan minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) bertarikh 16 Mei 2025 yang didakwa bocor kepada umum.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang dalam pelantikan hakim.

Katanya, langkah tersebut akan membuatkan pelantikan hakim-hakim tidak lagi dikaitkan dengan kepentingan peribadi Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, dakwaan tersebut mesti disiasat dan tindakan pembetulan perlu diambil dalam proses pelantikan hakim-hakim supaya rakyat terus yakin terhadap badan kehakiman sebagai penegak keadilan.

Lebih membimbangkan, kata beliau, dakwaan itu juga berkait rapat dengan masalah yang lebih besar iaitu dakwaan campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim-hakim membabitkan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan dalam satu kes mahkamah yang serius.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli.

“Ini membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah bahawa Perdana Menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim.

“Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti.

“Apatah lagi jika hakim yang didakwa terbabit dengan masalah integriti dilantik ke jawatan yang lebih tinggi dalam badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan minit Mesyuarat Jac yang tular – Fahmi

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 menetapkan integriti, kompetensi dan pengalaman sebagai kriteria utama pelantikan seorang hakim.

Menurut beliau, ini bermakna anggota JAC dalam membuat penilaian kelayakan seseorang untuk disyorkan pelantikannya sebagai hakim perlu meneliti aspek integriti individu tersebut.

Muhyiddin berkata, dakwaan yang tular itu merupakan salah guna kuasa dan campur tangan dalam badan kehakiman yang serius.

“Hak dan kebebasan seseorang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah terjejas sekiranya perbuatan ini benar-benar wujud.

“Bagaimana seorang individu boleh mendapat jaminan keadilan bagi dirinya jika penghakiman sesuatu kes boleh dipengaruhi oleh pihak yang berkuasa.

“Kedudukan badan kehakiman sebagai benteng terakhir seorang individu untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya akan terhakis.

“Sekiranya dakwaan ini benar, pelantikan hakim tersebut juga adalah bercanggah dengan Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 mengenai integriti hakim,” katanya.

Petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa berlangsung pada Mei lalu tersebar di media sosial sejak kelmarin, dipercayai bermula dari laman Reddit, sebelum tular di Facebook dan aplikasi X.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Proton S70, pembiayaan fleksibel pacu transformasi industri teksi negara – Loke

KERAJAAN memperkenalkan pendekatan baharu bagi mentransformasikan industri teksi negara menerusi penggunaan Proton S70 sebagai teksi generasi baharu, penyediaan pakej...

More Articles Like This