SEORANG lelaki maut dalam satu kemalangan selepaa kereta jenis Proton Inspira yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 2.5, Jalan Skudai, Pantai Lido menghala Skudai, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan meragut nyawa mangsa berusia 29 tahun itu berlaku pada jam 7.45 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang memandu dari arah pusat bandar menghala ke Skudai telah hilang kawalan sebelum melanggar batu pembahagi jalan dan tiang lampu di sebelah kiri jalan.
“Kenderaan itu kemudian terbabas ke bahu jalan di susur turun Jalan Lingkaran Dalam. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat tersepit di dalam kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menambah mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Raub turut menyeru agar orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791 bagi membantu siasatan.
“Polis menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu.
“Sentiasa patuhi had laju dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan,” tambahnya lagi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

