Apabila Pas mula bersuara, pemimpin Bersatu jangan anggap ‘tidak ada apa-apa’

Dari Penulis

 NYAWA politik Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada Pas. Keadaannya samalah juga bagaimana nyawa politik Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada DAP dan nyawa politik UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk terus ‘menumpang’ dalam kerajaan ada di genggaman PH.

 PN dianggotai oleh Bersatu, Pas dan Gerakan. Bagaimanapun kekuatan PN ada kepada Pas bukannya Bersatu walaupun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu. Justeru pemimpin-pemimpin Bersatu perlu ingat apapun kemahuan politik mereka jika ia berkaitan dengan PN mereka ‘WAJIB’ berunding dan mendapat persetujuan Pas.

 Seharusnya apabila sudah ‘ada bunyi-bunyi’ daripada Pas berhubung perjalanan politik PN, pemimpin Bersatu tidak boleh seolah-olah  ‘pekakkan telinga’ . Mereka perlu memandang serius ‘bunyi-bunyian’ berkenaan. Isu paling utama yang perlu diselesaikan segera ialah cadangan Pas supaya PN mewujudkan Majlis Presiden dianggotai oleh semua presiden parti dalam gabungan itu.

‘’Kita mencadangkan diwujudkan satu badan tertinggi dinamakan Majlis Presiden yang mana melalui majlis ini, ia akan dianggotai Presiden yang secara prinsipnya akan melihat PN secara menyeluruh. Ada pun pada peringkat pengoperasian harian termasuk menjawab, menjuarai dan menggembleng isu, ia boleh diserahkan kepada jawatankuasa eksektif,’’ kata Ahli Jawatakuasa Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin.

 Apa yang dikatakan oleh Khairil Nizam bukanlah lagi cadangan apabila Pemuda Pas Terengganu melalui muktamarnya minggu lalu meluluskan usul supaya PN menubuhkan Majlis Presiden.

 Isu kedua pula ialah penggiliran jawatan Pengerusi PN yang menyaksikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan Pas berpendirian terbuka dalam soal itu dan satu lagi isu yang turut menarik perhatian ialah siapakah calon Perdana Menteri daripada PN jika gabungan itu menangi pilihan raya.

 Kalau ketiga-tiga perkara itu diteliti, tidak keterlaluan kalau ada mentafsirkan seolah-olah wujud ‘’satu keadaan tidak selesa’’ antara Pas dengan kepemimpinan Bersatu khususnya Muhyiddin. Dari semasa ke semasa pemimpin Pas memberi pandangan bahawa PN perlu diberi nafas baru dalam strategi politik dan menampilkan wajah baru bagi calon PM.

 

Pada masa sama berdasarkan kenyataan pemimpin Pas termasuk terkini oleh Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin, mereka mahu apapun yang diumumkan oleh Bersatu yang melibatkan PN mesti dirundingkan terlebih dahulu dengan Pas.

‘’Keputusan yang dibuat oleh Pengerusi PN sekarang, Muhyiddin, tidak dibincangkan dalam PN. Siapa calon Perdana Menteri apa semua…dan jawatankuasanya tidak dibuat (dibincang) setahu saya. Jadi, kita (Pas) minta supaya dirunding, diputuskan dulu baru diumumkan. Jangan terus umum begitu sahaja,’’ katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Ada cakap-cakap yang mengatakan Pas mula ‘terasa hati’ berikutan tindakan Muhyiddin melantik Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhar sebagai Bendahari Agung PN dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN bagi menggantukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipilih sebagai Timbalan Presiden Bersatu. Lanjutan itu Pas dikatakan ‘secara halus’ menolak pelantikan Ahmad Samsuri dan ‘tidak begitu selesa’ dengan pemilihan Azmin.

 Semua perkara ini yang mewujudkan suasana tidak harmoni dalam PN harus diselesaikan segera. Muhyiddin perlu memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi membincangkannya. Bersatu tidak boleh membiarkan, apa yang dilontarkan oleh Pas didiamkan begitu sahaja kerana Pas mahu memperkukuhkan PN jika benar gabungan itu berhasrat menjadi alternatif kepada PH-BN pada PRU-16 nanti.

 Atas sebab itulah Majlis Presiden dicadangkan supaya Tan Sri Abdul Hadi Awang, Muhyiddin dan Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau boleh menjadi penasihat terhadap perjalanan PN memandangkan ketokohan dan pengalaman masing-masing. Merekalah yang akan membuat keputusan bersama dalam sesuatu isu berkaitan PN termasuklah siapakah bakal ‘poster boy’ PN dalam PRU-16.

 Buat masa ini penulis melihat pemimpin Pas masih lagi berlapik soal siapa yang mereka mahu menjadi calon PM bagi PN tetapi kalau berdasarkan sahabat-sahabat penulis dalam Pas, Muhyiddin bukan lagi pilihan utama! Maknanya Bersatu dan Pas perlu mengemukakan calon baru. 

Ramai penganalisis politik sudah dapat membaca ‘hasrat terpendam di hati’ Pas itu apatah lagi Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin boleh memainkan peranan utama merangka strategi bagi PN menjelang PRU16. 

Amar berkata kedudukan sebagai Timbalan Presiden Bersatu dan Timbalan Pengerusi BN sudah memadai untuk Hamzah diberi tanggungjawab itu bersama pimpinan lain.

Selain itu kata beliau soal merangka strategi juga tidak semestinya datang dari seorang presiden atau pengerusi kerana lazimnya dibuat secara kolektif dalam pasukan.

Ketika mengulas kenyataan Amar, bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim melalui ciapan dalam akaun  X beliau mencatatkan,’’Pas – melalui Nik Amar menunjukkan kematangan politik yang jarang berlaku dalam meletakkan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri jika PN membentuk kerajaan seterusnya.’’

 Itu pandangan Zaid namun penulis tidak mahu menyebut siapa daripada Bersatu atau Pas yang layak dipertimbangkan tetapi apa yang pasti riak-riak dalam Pas mereka mahu wajah baru menjadi ‘poster boy’. Selain itu sudah jelas Pas tidak mahu lagi mendiamkan diri apabila sesuatu tindakan berkaitan PN dilakukan tanpa berunding terlebih dahulu dengan Pas.

 Sebagai parti besar dan berpengaruh yang wujud sejak tahun 1951 serta kini menguasai empat negara iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan, Pas mungkin ‘sudah penat’ kerana seolah-olah terpaksa mengikut agenda politik yang disusun oleh pemimpin-pemimpin Bersatu. Mungkin ini hanya persepsi tetapi itulah yang ada dalam pemikiran politik pemimpin dan ahli Pas sebab itulah mereka mula bersuara.

 Dalam keadaan politik negara yang semakin bercelaru, ditambah pula sudah ada isyarat bahawa Kerajaan PH-BN dijangka hanya bertahan sepenggal, PN harus lebih mantap dalam membuat persiapan menghadapi PRU-16 termasuklah menubuhkan Majlis Presiden. Rasanya tidak susah untuk Bersatu khususnya Muhyiddin bersetuju dengan penubuhan majlis berkenaan kerana Presiden Bersatu itu pernah mencadangkannya pada tahun 2020. 

Apapun keadaannya diharapkan segala isu dan perkara yang berbangkit dalam PN diselesaikan melalui prinsip sura, muafakat dan keadilan dalam kepimpinan PN. Berdasarkan semangat itu juga janganlah ada mana-mana kelompok dalam gabungan berkenaan hanya memikirkan kepentingan kelompok masing-masing sahaja sehingga ada yang ‘dah gelabah’ bila Pas memperkatakan soal Majlis Presiden dan calon PM. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Polis sahkan Haim Hilman digari, tegaskan ikut prosedur

POLIS mengesahkan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berada dalam...

More Articles Like This