Oleh TAN SRI DZULKIFLI AHMAD
PADA 27 Jun lalu, saya telah menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan SPRM untuk melucuthak Ilham Tower — susulan penyitaan kedua di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang dibuat hanya beberapa hari sebelum tempoh penyitaan pertama di bawah Akta SPRM tamat.
Kini, perkara itu menjadi isu kehakiman yang nyata. Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar kesahan penyitaan kali kedua terhadap Ilham Tower yang dilakukan pada 6 Jun 2025, di bawah Seksyen 51 AMLA.

Permohonan ini membawa semula persoalan yang telah saya bangkitkan:
- Adakah penyitaan kedua ini satu tindakan yang sah menurut undang-undang atau sekadar cubaan untuk mengekalkan kawalan terhadap harta tersebut setelah tempoh penyitaan asal hampir tamat?
Dua Penyitaan, Satu Harta
1. 18 Disember 2023 – Ilham Tower disita di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM.
2. 17 Jun 2025 – Tempoh 18 bulan penyitaan tamat. Tiada pendakwaan atau permohonan lucuthak difailkan mengikut Seksyen 41 Akta SPRM dalam tempoh tersebut.
3. 6 Jun 2025 -SPRM mengeluarkan notis penyitaan baharu di bawah Seksyen 51 AMLA.
4. Kemudian – SPRM memfailkan permohonan perlucuthakan harta di bawah Seksyen 56 AMLA, yang membenarkan perlucuthakan tanpa pendakwaan. Namun Seksyen 56 hanya terpakai jika mahkamah berpuas hati bahawa harta tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Isu perundangan yang perlu diputuskan oleh mahkamah
- Adakah penyitaan pertama mempunyai asas yang mencukupi?
Seksyen 38 Akta SPRM mensyaratkan bahawa sebelum sitaan dibuat Pendakwa Raya perlu berpuashati yang harta tersebut adalah merupakan subjek atau bukti berkaitan dengan kesalahan rasuah. Namun, kegagalan untuk mendakwa atau melucut hak dalam tempoh ditetapkan menimbulkan persoalan: adakah bukti awal itu benar-benar kukuh sebelum sitaan dibuat?
- Adakah penyitaan kedua mematuhi kehendak AMLA?
Seksyen 51 AMLA hanya boleh digunakan jika wujud kaitan jelas antara harta dan aktiviti haram. Adakah asas sitaan kali kedua di mana Pendakwaraya mesti berpuashati bahawa harta tersebut adalah subjek atau bukti berkaitan kesalahan kesalahan pengubahan wang Haram di bawah Seksyen 4 AMLA mencukupi, walaupun tiada kesalahan asal dibuktikan memandangkan tiada tindakan diambil terhadap sitaan yg pertama di bawah Akta SPRM? Atau kerana semata-mata kegagalan isytihar harta di bawah Seksyen 49 Akta AMLA?
Penting diingat bahawa kegagalan isytihar tidak menjadikan harta itu “haram” secara automatik.
- Adakah tindakan ini menyalahgunakan proses undang-undang?
Mahkamah perlu menilai sama ada penyitaan kedua ini merupakan lanjutan siasatan yang sah atau hanya satu tindakan untuk mengekalkan kawalan terhadap aset bernilai tinggi selepas penyitaan asal luput?.
- Bolehkah permohonan lucut hak diteruskan jika asas penyitaan itu sendiri diragui?
Jika mahkamah mendapati penyitaan kedua ini cacat atau tidak sah, maka keseluruhan prosiding di bawah Seksyen 56 AMLA mungkin terbatal.
Mengapa kes ini penting?
Kes ini melangkaui soal pemilikan hartanah. Ia adalah ujian terhadap sempadan kuasa penguatkuasa, keperluan bukti yang sahih, dan perlindungan hak milik di bawah Perlembagaan.
Jika mahkamah mengesahkan tindakan SPRM, ia mungkin mencetuskan kebimbangan bahawa agensi penguatkuasaan boleh mengekalkan kawalan ke atas harta tanpa perlu mematuhi had masa yang ditetapkan undang-undang dengan menggunakan undang-undang lain secara berturutan.
Namun, jika cabaran Na’imah berjaya, keputusan ini akan mengukuhkan prinsip bahawa kuasa penyitaan dan perlucuthakan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya, dan bahawa setiap tindakan mesti disokong oleh bukti yang jelas dan sah dalam kerangka masa yang dibenarkan.
Ilham Tower kini menjadi simbol pertembungan antara kuasa penguatkuasa dan prinsip kedaulatan undang-undang. Keputusan mahkamah akan menjadi penentu kepada sejauh mana kita menjunjung prinsip akauntabiliti, ketelusan dan had kuasa dalam sistem keadilan kita.
*Tan Sri Dzulkifli Ahmad adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bekas Pendakwa Raya.

