MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN tahun ini memainkan peranan sebagai perantara bagi meredakan ketegangan yang sedang berlaku antara Thailand dan Kemboja ketika ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tanggungjawab selaku Pengerusi ASEAN itu menjadi antara faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, semalam.
Beliau berkata, perbincangan tersebut juga telah membuahkan hasil yang positif apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.
“Pada waktu ini, berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan), Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN memang memainkan peranan (sebagai perantara) itu.
“Itulah antara sebab kenapa panggilan kepada Pemangku Perdana Menteri Thailan dan Perdana Menteri Kemboja telah dilakukan semalam.
“Kita lihat pada waktu ini terdapat kesediaan antara kedua-dua Perdana Menteri untuk mengumumkan gencatan senjata dan kita menunggu, insya-Allah kenyataan daripada kedua-dua pihak.
“Ini antara peranan dimainkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memberitahu, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini, Anwar telah memaklumkan bahawa terdapat isyarat positif dan kesediaan yang telah ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh.
“Perdana Menteri juga telah meminta supaya Wisma Putra meneliti dan memberikan maklumat terkini hasil daripada perbincangan antara kedua-dua pihak,” katanya.
Baca artikel lain: Anwar minta Thailand, Kemboja segera laksana gencatan senjata
Semalam, Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook menyatakan telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Sehubungan itu, beliau telah meminta supaya Thailand dan Kemboja segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk.
Beliau turut menyambut baik isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan perkara itu.
Kemboja dan Thailand terjerumus dalam pertelingkahan diplomatik yang serius sejak 28 Mei lepas susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara di sepanjang sempadan Preah Vihear, yang telah meragut nyawa seorang anggota tentera Kemboja.
Pada Rabu, Kerajaan Thailand telah menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas segera selepas seorang anggota tenteranya cedera akibat letupan yang didakwa berpunca daripada periuk api baru yang ditanam.
Sehari kemudian, Kerajaan Kemboja membalas tindakan itu dengan menurunkan hubungan diplomatiknya dengan Thailand ke tahap paling rendah.
Menurut laporan media hari ini, seorang warga awam Thailand terbunuh manakala tiga lagi, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun, cedera parah susulan pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan terbabit pada awal pagi Khamis.
Kedua-dua negara jiran di Asia Tenggara itu sudah lama berselisih faham mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditentukan dengan jelas, yang terus memburukkan hubungan diplomatik antara Kemboja dan Thailand.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

