ATURAN prosedur bedah siasat dan menggali semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan dibuat dengan kadar segera berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, proses gali semula kubur Zara Qairina itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat.
Menurut beliau, ia bertujuan memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
Kumar memberitahu, tindakan itu diambil selepas laporan siasatan kes tersebut diteliti dan dinilai oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan yang dijalankan adalah mengikut lunas undang-undang, fakta dan keterangan yang diperolehi.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur jenazah Zara Qairina digali semula.
Baca artikel lain: Kes Zara Qairina: Tukar pegawai penyiasat, desak Akmal Saleh
Menurut AGC, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
Sebelum ini, AGC sudah menerima laporan penuh siasatan awal kes itu tetapi menyerahkan semula kepada polis untuk melengkapkan siasatan.
Allahyarham Zara Qairina yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Bagaimanapun pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

