ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bersama-sama Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang ke Bertam, Kepala Batas, Khamis ini sebagai solidariti mempertahankan maruah Jalur Gemilang.
Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham menegaskan, keputusan itu diambil atas semangat solidariti rakyat merentasi politik kepartian.
Menurut beliau, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara, perpaduan rakyat sekali gus identiti dan martabat negara yang perlu dipelihara serta dipertahankan.

Justeru, beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati undang-undang dan memastikan himpunan tersebut berlangsung secara aman serta penuh semangat patriotisme yang tulen.
“Seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah ‘semboyan penyatuan kebangsaan’. Kesatuan dan kebersamaan rakyat harus digembleng demi mempertahankan panji-panji tanah air, maruah serta martabat negara.
“Armada Bersatu sentiasa siap untuk bersama mana-mana pihak demi mempertahankan kedaulatan dan martabat negara.
“Anak muda memimpin penyatuan, Jalur Gemilang maruah kita bersama!,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hilman menegaskan, pihak yang bersalah terutama melibatkan pemasangan Jalur Gemilang terbalik perlu dikenakan tindakan tanpa kompromi.
Baca artikel lain: Ketua Pemuda UMNO ibarat ‘ah long’, kata Ketua Pemuda DAPSY Kebangsaan
Beliau berkata, kesalahan itu mesti dihukum tanpa mengira warna kulit, kaum, agama dan fahaman politik.
Katanya, insiden tersebut bukan kali pertama berlaku, malah walaupun telah riuh diperkatakan, ia tetap berulang kali terjadi.
“Saya musykil bagaimana insiden ini boleh berlaku berulang kali dengan alasan cuai, tidak sengaja dan salah teknikal yang pelbagai.
“Lebih musykil, orang yang membela dan mempertahankan Jalur Gemilang digelar anjing liar, pembuli dan gangster yang menggugat keharmonian.
“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung di sebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘Rukun Negara’.
“Jangan peralat dan mencemarkan patriotisme untuk membela sikap dan tindakan yang salah,” katanya.
Semalam, Pemuda UMNO Pulau Pinang dilapor akan turun ke Bertam, Kepala Batas kira-kira pukul 5.30 petang, Khamis ini sebagai respon terhadap kesudian DAP untuk menyambut kehadiran mereka dengan program pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Ketuanya, Mohd. Hilmi Elias berkata, program itu akan turut disertai oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau berkata, pada program berkenaan, Pemuda UMNO juga akan hadir bersama bendera Malaysia sebagai simbolik kecintaan terhadap Jalur Gemilang dan tanah air tercinta.
Sebelum itu, media melaporkan DAP akan menyambut kedatangan pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di kawasan kedai yang didakwa memasang bendera secara terbalik dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang percuma sebagai tanda semangat perpaduan sempena Hari Kemerdekaan.
Selain itu, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, DAP juga telah menaja Jalur Gemilang gergasi dan memasangnya di hadapan kedai perkakasan berkenaan untuk tontonan umum sebagai menunjukkan ia telah dipasang dengan betul.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

