SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air.
Sindiket tersebut telah dilumpuhkan menerusi Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Skuad Taktikal Anti-Rasuah (ACTS) SPRM.
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia telah ditangkap di sekitar Lembah Klang.
Sumber memaklumkan, kesemua suspek berusia lingkungan 30 sehingga 50-an telah ditahan sejak operasi dilancarkan pada pukul 6.30 pagi tadi.
Katanya, serbuan itu telah dilakukan berpandukan maklumat risikan selama kira-kira setahun.
“Pegawai-pegawai kanan itu adalah daripada bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian yang sama.
“Mereka telah ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai telah bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah kira-kira RM3 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, siasatan awal mendapati lima pegawai kanan ATM yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup.
Baca artikel lain: SPRM tahan broker tipu wang jualan tanah RM3.8 juta, reman tujuh hari

Pada masa sama, suspek telah bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barang larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran yang kesemuanya membabitkan jumlah kira-kira RM5 juta sebulan.
“Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan,” katanya.
Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan kesemuanya disita.
Menurut sumber, rangkaian penyeludupan membabitkan pegawai-pegawai kanan tentera ini adalah besar dan rumit untuk dibongkarkan.
Dalam pada itu, seorang wanita warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan, dan dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau menegaskan tindakan operasi ini wajar dipandang serius semua pihak kerana ia melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” kata beliau.
Tambah beliau, kesemua saspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

