SEMUA pihak diingatkan supaya tidak menjadikan kes kematian mangsa buli termasuk melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai senjata politik.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Menurut Perdana Menteri, tindakan sesetengah pihak menggunakan kematian mangsa buli semata-mata demi tujuan penipuan dan hasutan tidak boleh diterima sama sekali.
“Soal media sosial ini, kita kawal (tapi) ada batasnya. Umpamanya yang terbaharu, seseorang yang kata dia itu doktor patologi bagi gambaran (bedah siasat Zara Qairina Mahathir) dan ini meracuni pemikiran jutaan orang sehingga ada rakan, isteri, sahabat bertanya PM (Perdana Menteri) apa ini?
“Orang itu (Zara Qairina) dah terkorban, kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain.
“Kalau benar tak apa, mana boleh kita mainkan (isu ini) seolah kematian orang itu (digunakan untuk) menipu dan menghasut sebegitu rupa,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan berlaku beberapa kelemahan dalam pengendalian kes kematian Zara Qairina pada 17 Julai lalu.
Baca artikel lain: Prosiding inkues kematian Zara Qairina 3 hingga 30 September
Beliau berkata, ia termasuk dari segi siasatan serta wujudnya beberapa kelewatan tertentu.
Namun, Anwar menegaskan pihak berkuasa sedang menanganinya sebaik mungkin.
“Saya, TPM (Timbalan Perdana Menteri) Fadillah, TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dah keluarkan kenyataan dan kita sudah adakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan telus,” katanya.
Mengulas mengenai budaya buli, Anwar menegaskan budaya itu perlu dihentikan sepenuhnya kerana ia penderaan berbentuk psikologi dan fizikal yang memberi impak besar terhadap masyarakat.
“Kemelut dalam negara terutama beberapa kes kematian anak-anak kita, anak kita Zara (Qairina) di Sabah, Faris (Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman) di Kelantan dan beberapa kes lain yang disebut (sebagai) kes buli.
“Buli ini (berbentuk) penderaan psikologi dan fizikal sama ada di sekolah, universiti, pejabat, Kementerian Kesihatan (KKM), (budaya) ini mesti dihentikan kerana ia kebejatan (meliputi) penghinaan sama ada atas peribadi seseorang, warna kulitnya dan pelbagai,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya pakar bedah yang terbabit dalam kes kematian Zara Qairina.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata individu berkenaan mendakwa dirinya hadir pada proses bedah siasat jenazah pelajar itu pada 10 Ogos lalu, namun semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

