PELAWAK dan penyampai radio popular, Issey Fazlisham tampil memperjelas penglibatannya dalam teater bertemakan isu buli bukanlah bertujuan untuk “menunggang isu” hangat, tetapi sebagai inisiatif kesedaran sosial yang bertepatan dengan realiti semasa.
Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Husin, 35, berkata, dia mengambil peluang dan ruang yang tersedia untuk menyampaikan mesej bermakna melalui karya seni, sekali gus menolak persepsi negatif sesetengah pihak.
“Bukan nak tunggang. Tapi isu ini sedang hangat diperkatakan. Kalau tidak ke depan untuk bercerita, kita akan ketinggalan.
“Kenapa tidak saya kongsi sedangkan ada ruang yang bagus? Jika tak dapat ruang, kita cari peluang,” ujar Issey kepada URTV.
Issey berkata demikian ketika ditemui di sidang media Makar Fest 2025 di ibu negara, petang hari ini.
Sempena penganjuran Makar Fest 2025, Issey akan membintangi sebuah pementasan berjudul Teater Dalam Penjara, arahan pengarah tersohor Sabri Yunus.

Teater ini diterbitkan oleh Red Bean Productions dan bakal dipentaskan di lokasi unik, Kota Jail, bekas penjara bersejarah di Johor Bahru, Johor.
“Apa yang menarik, teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara, iaitu di Kota Jail yang dinaik taraf sebagai tarikan pelancongan.
“Mungkin ramai belum tahu, Kota Jail merupakan penjara ketiga tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun yang dahulunya pernah menempatkan ramai banduan.
“Jadi, orang ramai yang datang ke festival dan menonton teater akan berpeluang merasai sendiri perasaan dan pengalaman bagaimana banduan duduk dalam penjara,” ujarnya.
Pementasan ini akan mengetengahkan isu kebebasan dan buli, dibawa secara dramatik dan menyentuh perasaan, agar penonton dapat merasai secara simbolik tekanan dan kekangan yang dialami mangsa buli, baik secara fizikal, mental mahupun emosi.
Mengulas lanjut, Issey menyifatkan teater ini sebagai sebahagian daripada gerakan kesedaran kolektif terhadap isu buli yang semakin membimbangkan, terutama dalam konteks sosial semasa.
“Dengan pementasan ini, kami nak tarik lebih ramai orang agar benci buli.
“Pada saya, ini adalah gerakan untuk bersama-sama memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya.
Selain Issey, teater ini turut menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Ain Sufia, Ammar Titan, Angeline Tan dan Sabri Yunus.
Informasi lanjut berkenaan penjualan tiket Teater Dalam Penjara akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Makar Fest 2025 bermula Isnin ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

