DUNIA hiburan Malaysia semakin rancak dengan pelancaran UTV, platform penstriman digital eksklusif (OTT) terbaharu yang hadir dengan tagline “Stream For You”.
Diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd, UTV bukan sahaja menyajikan hiburan, malah membuka peluang luas kepada bakat kreatif tempatan untuk mengetengahkan karya mereka ke peringkat lebih tinggi.
Presiden UTV merangkap CEO Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan berkata, platform ini lahir daripada pengalaman panjang Usanita dalam dunia seni tempatan dan kerjasama dengan stesen TV antarabangsa.

“Industri seni adalah nadi masyarakat. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi warisan yang mengangkat budaya, identiti dan kisah hidup kita.
“Dari inspirasi itu, UTV diwujudkan untuk menjadi ruang yang memberi peluang kepada idea-idea baharu direalisasikan,” katanya kepada URTV.
UTV tampil berbeza dengan menggunakan model Pay Per Content, membolehkan penonton membeli kandungan mengikut pilihan tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej.
Pendekatan ini memberi fleksibiliti serta nilai eksklusif untuk setiap karya yang disiarkan.
Lebih menarik, UTV membuka ruang pitching kepada semua, sama ada syarikat produksi besar, penerbit indie mahupun penulis skrip baharu.

“Ramai kreator muda menyimpan skrip dan sinopsis hebat, tetapi tidak mempunyai platform untuk ditayangkan.
“Di UTV, kami mahu ubah keadaan itu. Hantar idea anda, jangan takut mencuba.
“Jika karya itu kuat, kami sedia menilai dan membimbing sehingga ia dapat ditayangkan di skrin UTV,” ujarnya.

Penonton juga berpeluang menikmati lima segmen utama yang ditawarkan UTV:
UTV Original – Drama & telefilem eksklusif berkualiti tinggi seperti Saling Tak Terlihat (Remy Ishak, Nora Danish), Langit Tanpa Bintang (Nabila Huda, Hasnul Rahmat), Anak Mak (Sheila Rusly, Sophia Albarakbah) dan Hantu Cinta Kamu (Zizan Razak, Sherry AlHadad, Nora Danish).
UTV Music – Konsert eksklusif ke skrin seperti Showcase Janji (Dayang Nurfaizah) dan A Night With Aina Abdul 3.0.
UTV Podcast – Perbincangan segar antaranya Hitam Putih dan Ruang Usanita.
UTV Talkshow – Bual bicara menarik seperti Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly.
UTV Smart – Kandungan berinformasi seperti Bootcamp Usanita dan Online Business Game 101 with Zoey Rahman.
Orang ramai yang berminat untuk berkongsi idea dan sinopsis karya boleh hantar ke [email protected] atau melalui media sosial rasmi UTV di Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal.
Dengan pendekatan segar ini, UTV diyakini mampu menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak karya asli Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

