PELABUHAN Klang kini berada di tangga ke-10 dalam Senarai Lyod 2025: 100 Pelabuhan Teratas, sekaligus menempatkannya dalam kelompok 10 pelabuhan kontena tersibuk dunia buat pertama kali dalam sejarah.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, pencapaian itu turut menyaksikan Pelabuhan Klang mengatasi Hong Kong, mencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini.
Menurut Kementerian Pengangkutan, kejayaan itu juga diraikan dengan penuh makna bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68, melambangkan semangat cekal, perpaduan dan kemajuan negara.
“Pada 2024, Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU, meningkat 4.1 peratus berbanding 14.06 juta TEU pada 2023.
“Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan 8.9 peratus aktiviti import dan eksport, hasil permintaan berterusan terhadap barangan buatan, industri dan pengguna,” jelas Kementerian Pengangkutan.
Kementerian Pengangkutan menambah, walaupun berdepan cabaran global seperti krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa.
Jelas kementerian, berdasarkan momentum itu, throughput dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, mengukuhkan lagi kedudukan pelabuhan dalam kalangan hab maritim utama dunia.
Kementerian Pengangkutan memberitahu, lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu – dari tangga ke-13 (2022), ke-11 (2023), dan kini ke- 10 (2025).
“Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, fasiliti dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan perdagangan global.
“Selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengekalkan kedudukan ke-15 bagi 2023 dan 2024, sambil mencatat lonjakan throughput kepada 12.25 juta TEU pada 2024 – peningkatan 16.9 peratus berbanding 10.48 juta TEU pada 2023.
“Kombinasi kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia sebagai negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia,” jelas kementerian.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

