KADAR pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun meningkat daripada 270,800 orang pada suku kedua 2024 kepada 286,500 orang pada suku sama tahun ini.
Guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran siswazah pula menurun daripada 1.55 juta orang pada 2022 kepada 1.54 juta orang pada 2023.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), untuk itu pihaknya mengambil langkah strategik menangani isu ketidakpadanan kemahiran melalui tindakan-tindakan proaktif.
“Ia melibatkan Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp), Jabatan Tenaga Manusia, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Pihak lain termasuk Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
“TalentCorp menerbitkan Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL) sejak 2015 sebagai penanda aras penelitian keperluan pekerjaan dan kemahiran kritikal yang diperlukan industri,” jelas KESUMA dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
KESUMA menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai langkah menangani kadar pengangguran belia yang tinggi.
Tambahnya, TalentCorp telah menjalankan Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau untuk memahami kesannya terhadap tenaga kerja Malaysia.
Berdasarkan dapatan kajian tersebut katanya, portal digital MyMAHIR.my dibangunkan berfungsi sebagai pusat sehenti menyediakan maklumat peranan pekerjaan masa depan.
Ia turut merangkumi kemahiran yang diperlukan dan program latihan yang bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Bagi memastikan keselarasan kemahiran dengan keperluan industri, MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) ditubuhkan untuk menentukan bentuk latihan diperlukan.
“Dalam pada itu PERKESO membangunkan Sistem Career Bridge Tool serta melaksanakan Program MYFutureJobs Career Launchpad.
“Selain itu menjalin kerjasama strategik bersama syarikat dan institut latihan kemahiran dalam menyediakan reskilling dan upskilling untuk meningkatkan kebolehpasaran,” katanya.

