KELUARAN Dalam Negeri Kasar (KDNK) kekal berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh tahun pertama 2025 menepati unjuran rasmi antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada 2025.
Kementerian Kewangan memaklumkan, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada beberapa risiko yang boleh menggugat prospek pertumbuhan ekonomi negara seperti kadar tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat dan ketidaktentuan ekonomi global.
Jelas Kementerian Kewangan, dalam menangani isu tarif, kerajaan telah mengambil pendekatan berhati-hati dan berhemat dengan mengutamakan diplomasi perdagangan bagi melindungi akses pasaran dan kepentingan eksport negara.
“Kerajaan juga telah menubuhkan National Geo-Economic Command Centre (NGCC) untuk menyelaras strategi tindak balas ekonomi negara secara menyeluruh, manakala Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga sedang melaksanakan kajian impak dengan rakan ASEAN bagi memastikan tindak balas kolektif di peringkat serantau.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia turut memimpin usaha blok serantau dalam menghadapi cabaran tarif, sekaligus memastikan rantaian bekalan global kekal terbuka dan berdaya tahan serta kompetitif,” jelas Kementerian Kewangan dalam jawapan yang disiarkan di Parlimen.
Kementerian menjawab soalan Senator Datuk Seri S.V Vell Paari yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pendekatan dinamik yang diambil Kerajaan terhadap dasar ekonomi dalam memastikan sasaran pertumbuhan KDNK tahun ini dicapai termasuk menangani kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan memberitahu, kerajaan turut melaksanakan langkah pemetaan strategi untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan mampan, inklusif dan berdaya saing.
Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan yakin sasaran pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini akan dapat dicapai menerusi pendekatan yang komprehensif, walaupun berdepan cabaran luaran seperti kesan tarif dan ketidaktentuan global.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan komited melaksanakan pembaharuan struktur bagi memperkukuh asas ekonomi, seterusnya memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan dan berdaya tahan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

