SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa United Kingdom (UK) berhubung siasatan aset Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut sumber, ia juga berkaitan pemilikan aset ahli keluarga dan individu berkaitan di luar negara.
Jelasnya, Malaysia diterajui SPRM dan UK telah memeterai Mutual Legal Assistance (MLA) atau Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama melalui kerjasama National Crime Agency (NCA) pada Disember 2024.
“SPRM sebelum ini telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), unit di bawah NCA yang berpusat di London berkaitan kes ini.
“SPRM kini sedang menunggu senarai aset rasmi daripada pihak berkuasa UK melibatkan Kanada, Switzerland, Jepun dan UK,” katanya.
Sumber menambah, setelah maklumat lengkap diperoleh, SPRM akan memulakan proses perundangan bagi tindakan sitaan dan melucuthak aset yang dikenal pasti.
Ini katanya, sebagaimana yang telah dilakukan dalam kes melibatkan Tun Daim Zainuddin sebelum ini.
Sumber juga menyatakan bahawa usaha untuk mengesan dan memulangkan aset yang dipercayai diselewengkan bukanlah perkara mudah.
Malah katanya, ia memakan waktu yang lama kerana membabitkan instrumen perundangan antarabangsa serta kerjasama pelbagai pihak berkuasa luar negara.
“Namun siasatan akan diteruskan secara telus demi memastikan segala aset yang diperoleh secara haram dapat dipulangkan kepada negara,” tambah sumber.
Dalam siasatan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), SPRM telah memanggil dua anak kepada bekas Perdana Menteri itu untuk mengistiharkan aset-aset yang dimiliki di dalam dan luar negara.

