PAS menggesa Amanah dan UMNO untuk menyatakan pendirian berhubung pendirian mereka mengenai kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hal itu memandangkan Amanah pernah mengakui bahawa parti itu berpegang pada prinsip dan tegas, bukannya sekadar hanya menurut perintah semata-mata.
Kata beliau, sejarah mencatatkan bahawa Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu merupakan antara tokoh yang lantang menentang pencerobohan dan penindasan Israel serta mengecam sikap Amerika Syarikat di Timur Tengah.
“Di manakah pendirian tegas Amanah terhadap isu Palestin hari ini? Mengapa mereka terus membisu terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Trump ke Malaysia sebagai tetamu kehormat, sedangkan tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin?
“Kami juga mengharapkan suara ketegasan daripada UMNO dalam isu ini. Sebagai parti komponen yang menyokong kepimpinan PMX dalam kerajaan, sikap berdiam diri hanya akan dilihat sebagai tanda persetujuan terhadap kedatangan Trump ke negara ini.
“Ketika dunia sedang mengutuk kekejaman Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, sikap membisu ini amat mengecewakan dan pasti melukakan hati umat Islam di negara ini yang bersolidariti bersama saudara mereka di Palestin,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan sama ada Malaysia hanya mahu berdiam diri hanya kerana alasan ekonomi, sedangkan masih mempunyai pilihan lain.
Katanya, ketika Palestin terus dizalimi tanpa belas ihsan oleh Israel yang disokong Amerika Syarikat, menjemput Trump untuk hadir ke Persidangan ASEAN bukanlah suatu keutamaan.
“Ingatlah, saudara kita di Gaza terus dibunuh, dan tindakan kita akan memberi isyarat penting kepada seluruh dunia.Sikap kita menentukan maruah negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

