PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tampil dengan bukti penggunaan dokumen palsu dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi pendedahan asal usul datuk dan nenek tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Dalam laporan rasmi bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengesahkan wujud percanggahan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain-pemain berkenaan.
Laporan itu menjelaskan, hukuman tersebut dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio menyatakan terdapat percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal diperoleh FIFA dengan dokumen dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain berkenaan.
Menurut laporan itu, dokumen FAM yang mendakwa datuk pemain kelahiran Belanda, Hector Hevel lahir di Melaka sedangkan sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar adalah di The Hague, Belanda.
Selain itu, dokumen FAM menyatakan datuk Jon Irazabal berasal dari Kuching, Sarawak sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.
Semakan FIFA turut mendapati keluarga Gabriel Palmero berasal dari Santa Cruz de la Palma, Sepanyol manakala datuk kepada Facundo Garcés dilahirkan di Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Baca artikel lain: FAM masih tunggu penghakiman penuh FIFA
Datuk Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, sementara datuk João Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.
FIFA menjelaskan kesahihan maklumat berkenaan disahkan menerusi semakan silang dengan rekod rasmi jabatan pendaftaran sivil di negara masing-masing, dan tiada bukti sahih menunjukkan pertalian darah pemain-pemain terbabit dengan Malaysia.
Laporan itu turut menyebut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan salinan dokumen berdasarkan maklumat sekunder yang dikemukakan kepada mereka, bukan daripada rekod kelahiran asal.
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan sebelum mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa rasmi, termasuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, di mana dua daripada mereka menjaringkan gol.
Berikutan dapatan itu, FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.
FAM diberikan tempoh 30 hari untuk menjelaskan denda itu dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

