
SEPANJANG minggu lalu, mata dan fikiran dunia tertumpu kepada 42 kapal yang membawa misi bantuan Global Sumud Flotilla bagi membantu rakyat Gaza yang ditindas di Palestin.
Misi bersejarah itu melibatkan penyertaan dari 44 buah negara termasuk Malaysia yang bertindak sebagai salah satu peneraju utama.
Gelombang pertama flotilla yang disertai hampir 500 aktivis dari seluruh dunia termasuk aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg itu telah berjaya memberi kesedaran kepada orang awam untuk terus menyokong perjuangan Palestin.
Kita semua tahu bagaimana misi itu berakhir, semua 42 kapal itu telah dipintas rejim zionis dengan kesemua aktivis diculik sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.
Pilu rasa hati apabila membaca bait-bait ayat ditulis Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir al-Nuri dalam hantaran di media sosialnya sebaik sahaja kapal terakhir misi Global Sumud Flotilla dipintas rejim zionis.
“Marinette : intercepted. Bermakna berakhirlah perjalanan seluruh peserta GSF gelombang pertama kita pada kali ini.
“Alhamdulillah, mereka berjuang dengan Sumud sehingga ke saat akhir,” katanya.
Kecekalan dalam diri kesemua aktivis itu jelas menunjukkan semangat ‘sumud’ sebenar yang membawa maksud keteguhan, ketabahan dan ketahanan.
Semangat itu ditampilkan menerusi pelbagai kisah yang dikongsikan sebaik sahaja mereka selamat tiba di bumi Istanbul, Sabtu lalu.
Kegilaan dan kezaliman rejim zionis Israel terserlah apabila kebanyakan aktivis telah diperlakukan dengan keras ketika berada dalam tahanan.
Malah, beberapa aktivis Malaysia termasuk Ardell Aryana dan Haikal Abdullah telah diberi rawatan lanjut di sebuah hospital di Istanbul, Turkiye.
Baca artikel lain: 23 aktivis GSF Malaysia dijangka tiba di tanah air malam esok
Ardell telah mengalami tekanan darah rendah, rambut ditarik dan turut ditumbuk di bahagian muka di samping mengalami koyakan tisu bahu.
Haikal pula telah dipijak tentera rejim zionis di bahagian tangan sehingga menjejaskan beberapa jarinya.
Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi turut mendakwa telah dilayan seperti binatang dan terpaksa minum air tandas untuk meneruskan kehidupan.
Itu baharu sedikit, banyak lagi cerita ‘gila’ dilakukan rejim zionis terhadap aktivis yang hanya membawa bantuan kemanusiaan, tidak berbahaya dan tidak juga membawa senjata.
Mereka bukan siapa-siapa, sebahagian besar hanyalah pempengaruh media sosial di negara masing-masing.
Namun, jiwa mereka besar, semangat juang mereka tinggi demi memastikan rakyat Palestin di Gaza memperoleh hak yang selama ini dinafikan.
Walaupun bantuan kemanusiaan tidak sampai ke Gaza kali ini, tetapi sebenarnya misi itu telah berjaya menyemarakkan lagi sokongan terhadap Palestin.
Tahniah wira-wira Global Sumud Flotilla, jasa anda telah membuka mata dunia.
Ayuh Malaysia, kita raikan kepulangan mereka nanti.
Tabik hormat!
Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

