KERAJAAN meluaskan kelayakan manfaat sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada tiga kelompok baharu dengan lebih 31,000 penerima.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), ia melibatkan lebih 17,900 nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Jelasnya, lebih 9,700 penerima lagi membabitkan pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kementerian Kewangan telah mengaktifkan kelayakan kepada individu-individu terbabit.
“Ini menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi,” katanya dalam kenyataan.
MoF menambah, pihaknya kini sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri-negeri lain di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak.
Pada masa yang sama katanya, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa.
“Perkara itu bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
MoF bersama agensi berkaitan katanya, akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-26314595 untuk maklumat lanjut.
Menurut MoF, portal tersebut turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.

