Fareez Fauzi mara ke final, kejutan warnai separuh akhir All Star Championship 2025

Dari Penulis

AKSI separuh akhir All Star Championship 2025 yang berlangsung Sabtu lalu di Bunker Damansara, Kuala Lumpur menyaksikan pertarungan sengit dan penuh kejutan apabila beberapa peserta selebriti dan pempengaruh berjaya menumbangkan lawan masing-masing dalam saingan penuh debaran.

Antara perlawanan paling mencuri tumpuan ialah aktor Fareez Fauzi yang mara ke pentas akhir selepas menewaskan Koroy dalam pertarungan dramatik sejak pusingan pertama hingga tamat perlawanan.

Hasrat pempengaruh Imranul Effendy untuk bertemu adiknya, Izzlan, di pentas akhir pula tidak kesampaian apabila Izzlan tewas kepada Amir Harris, sekali gus menutup peluang pertembungan “adik-beradik” yang dinantikan ramai.

Dalam satu lagi perlawanan, pelakon Shahidan Izwan turut tersingkir selepas tunduk kepada Sonic yang mempamerkan ketenangan serta ketepatan pukulan luar biasa.

Sementara itu, penyanyi Fariq McFly terpaksa akur apabila tewas kepada Oyot, atlet silat yang tampil dengan disiplin dan kawalan gelanggang seperti jaguh profesional.

Penganjur All Star Championship, Datuk Abdul Rahman Soltan berkata, kejohanan edisi kali ini membuktikan peserta bukan sahaja berani mencabar diri, malah menunjukkan disiplin dan komitmen luar biasa di gelanggang.

“Saya bangga dengan semangat kesukanan yang ditunjukkan semua peserta. 

“Walaupun ada pihak yang mempersoalkan keseriusan mereka, namun hakikatnya mereka menjalani latihan intensif dan tampil dengan aksi bertaraf profesional.

“Sambutan penonton yang luar biasa juga menunjukkan bahawa All Star Championship kini menjadi fenomena baharu dalam dunia sukan tempur moden,” katanya.

Dia turut memaklumkan bahawa kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan, malah menggabungkan unsur hiburan dan digital bagi menarik minat golongan muda. 

Ia turut disokong oleh Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pusingan akhir All Star Championship 2025 dijadual berlangsung pada 18 Oktober ini di Arena Sukan Kuala Lumpur, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM270,000 menanti para pemenang dalam tiga kategori utama.

Abdul Rahman berkata, pentas akhir nanti dijangka menjadi pertarungan paling sengit dan bersejarah, mempertemukan enam peserta terbaik yang kini berada di kemuncak prestasi masing-masing.

Pelakon berpengalaman Fauzi Nawawi, yang juga bapa kepada Fareez, melihat kejohanan itu sebagai platform positif yang menggabungkan dunia sukan dan digital dalam satu arena.

“Kita perlu melihat fenomena ini dari sudut positif kerana ia membuka ruang kepada anak muda untuk bersaing secara sihat.

“Malah, dengan penglibatan selebriti dan pempengaruh, sukan tinju tempatan dapat diketengahkan ke tahap lebih tinggi. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi mendidik tentang disiplin dan semangat kesukanan,” katanya.

Tiket menyaksikan pusingan akhir All Star Championship 2025 akan mula dijual tidak lama lagi. 

Penonton dijangka memenuhi Arena Sukan Kuala Lumpur bagi menyaksikan detik penentuan siapakah bakal dinobatkan sebagai Juara All Star Championship 2025.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This