KERUGIAN membabitkan kes jenayah komersil dalam tempoh sembilan bulan sejak Januari tahun ini telah mencecah RM3.6 bilion, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Mohd Khalid berkata, kerugian itu membabitkan sebanyak 52,678 kes jenayah komersil, sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 81.6 peratus dalam tempoh kurang setahun berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, seramai 20,784 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sejak Januari hingga September tahun ini.
“Jenayah penipuan dalam talian termasuk ‘love scam’ dan pelaburan palsu yang menjanjikan keuntungan memanipulasi emosi dan harapan menyumbang 80 peratus daripada kes jenayah komersil yang dilaporkan.
“Statistik dari Januari hingga September lalu menunjukkan terdapat 47,850 kes dengan kerugian mencecah RM2 bilion, meningkat sebanyak 93.89 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
“Perangkaan itu bukan satu kebanggaan sebaliknya menunjukkan kepercayaan yang dikhianati, impian dan kehidupan yang lebur angkara penipuan,” katanya dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara anjuran JSJK, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius jenayah komersil yang semakin membimbangkan dan kepercayaan memeranginya diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSJK untuk menerajui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Katanya, NSRC menyatukan kepakaran dari PDRM, Pusat Jenayah Kewangan Negara (National Financial Crime Center), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam memerangi penipuan dalam talian beroperasi 24 jam sehari setiap hari sejak 7 Julai lalu bagi bantuan segera kepada mangsa penipuan.
“Sejak penubuhan pada 12 Oktober 2022 sehingga 30 September lalu, NSRC menerima 266,380 panggilan termasuk 159,873 panggilan yang dianggap ‘genuine case’, iaitu yang memenuhi kriteria untuk tindakan lanjut dalam mengesan dan menyekat dana yang hilang.
“Sebanyak 115,604 panggilan general case, iaitu panggilan umum seperti pemberian nasihat pencegahan atau berkaitan kes yang lama,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 14,668 aktiviti pencegahan menerusi pameran, ceramah dan kolaborasi strategik bersama media turut konsisten digerakkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai ancaman jenayah itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

